Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Vaksin Influenza percuma untuk murid di Selangor diberi minggu depan
Diterbitkan:  Nov 2, 2025 11:00 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

Kerajaan Selangor akan memulakan program pemberian vaksin Influenza secara percuma di daerah yang mencatatkan kadar kes tertinggi, iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat, bermula minggu hadapan.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata program berkenaan dijangka melibatkan 12,500 murid dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

“Program itu bertujuan memastikan kanak-kanak, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah, mendapat perlindungan terhadap jangkitan Influenza serta mengurangkan penularannya dalam komuniti,” katanya menerusi kenyataan.

Jamaliah berkata program berkenaan akan dilaksanakan melalui dua kaedah, iaitu menerusi program bantuan di sekolah yang mempunyai pusat Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi memberi vaksin Influenza kepada kira-kira 4,720 murid berumur 8 tahun ke bawah daripada golongan B40.

Katanya setiap murid akan menerima risalah maklumat lengkap mengenai program itu bersama kod QR untuk ibu bapa mendaftar melalui aplikasi SELangkah.

“Kerajaan negeri melalui Selcare Management Sdn Bhd akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pentadbiran sekolah dan pusat khidmat masyarakat bagi memastikan kelancaran program outreach (bantuan),” katanya.

Jamaliah berkata kaedah seterusnya ialah secara kehadiran tanpa janji temu di Klinik Selcare atau klinik panel terpilih, dengan ibu bapa perlu mendaftar serta mengesahkan status mereka melalui aplikasi SELangkah sebelum datang ke klinik terbabit.

Susulan itu, Jamaliah menyeru semua ibu bapa yang layak untuk mendaftar melalui aplikasi SELangkah dan memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan negeri bagi melindungi anak-anak daripada jangkitan Influenza.

“Kerajaan Selangor kekal komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah, terus terpelihara.

“Program vaksinasi Influenza ini bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban kewangan keluarga B40, tetapi juga berperanan penting dalam meningkatkan tahap kesihatan dan kehadiran anak-anak ke sekolah,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS