Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
FAM terkejut Fifa tolak rayuan
Diterbitkan:  Nov 3, 2025 10:47 PM
Dikemaskini: 3:09 PM

Fifa hari ini mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain asing yang beraksi di Liga Malaysia selepas menolak rayuan berhubung kes pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.

Dalam kenyataan rasmi, Jawatankuasa Rayuan Fifa memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM serta tujuh pemain — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano — dan mengekalkan sepenuhnya hukuman yang dijatuhkan sebelum ini oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa.

Antara hukuman yang dikekalkan ialah:

  • FAM diperintah membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada Fifa.

  • Tujuh pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,500) setiap seorang.

  • Kesemua pemain digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak di peringkat antarabangsa.

Fifa berkata semua pihak telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut dan mereka mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon alasan bertulis keputusan sebelum diberikan 21 hari lagi untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).

Pada September lalu, FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa.

Fifa memaklumkan bahawa FAM telah menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan, yang membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

Susulan itu, FAM pada Oktober lalu memfailkan rayuan rasmi kepada Fifa.

FAM akan rujuk peguam

Dalam kenyataan balas yang dikeluarkan malam ini, FAM mengesahkan menerima keputusan rayuan yang ditolak oleh Fifa dan menyatakan rasa terkejut dengan keputusan berkenaan memandangkan ia merupakan kali pertama badan induk bola sepak negara berdepan situasi seperti ini.

“FAM akan menulis kepada Fifa untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

"Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut.

“Walau bagaimanapun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata pemangku presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi.

FAM turut menegaskan pihaknya akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk memastikan keadilan diberikan kepada pemain serta melindungi reputasi bola sepak Malaysia di mata dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS