Peguam P Uthayakumar telah dibebaskan dari tahanan polis pada jam 5 petang tadi - 24 jam selepas beliau ditahan semalam.

“Mereka menahan saya untuk tempoh maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang tetapi tidak mendakwa saya," katanya kepada Malaysiakini .

Uthayakumar ditahan semalam di kompleks mahkamah Kuala Lumpur sejurus selepas beliau membayar ikatjamin RM50,000 berkaitan satu tuduhan menghasut terhadapnya.

Dipercayai beliau ditahan berkaitan satu lagi tuduhan menghasut terhadapnya. Beliau telah ditahan semalaman di pusat tahanan di bangunan bekas penjara Pudu.

Peguamnya serta pihak media menunggu kedatangan beliau di mahkamah Jalan Duta sejak awal pagi tadi untuk menghadapi tuduhan baru, seperti yang dibayangkan oleh pihak pendakwa semalam.

Bagaimanapun, berita tersebar pada kira-kira jam 5 petang bahawa Uthayakumar telah dibebaskan tanpa didakwa. Kira-kira 100 orang menunggu beliau di luar pusat tahanan tersebut, dengan kira-kira 30 anggota polis berkawal di situ. Berita asal