Penyelaras Pusat Sumber Buruh (LRC), Abdul Razak Ismail dihalang oleh pihak polis daripada memasuki bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan semalam.

Beliau ke sana dengan memandu kereta Proton Tiara warna hijau miliknya, bersama dengan seorang pemimpin Bersih - Tian Chua - yang juga ketua penerangan PKR.

Ketika cuba melepasi sekatan jalan dekat bangunan tersebut, mereka dihalang, ditarik keluar dan ditangkap.

Apabila Abdul Razak melihat keretanya kemudiannya, bahagian depannya telah terbakar. Beliau mengesyaki polis melakukannya dengan sengaja.

Polis bagaimanapun memberitahu beliau bahawa keretanya terbakar - akibat berlaku litar pintas di bahagian bateri - ketika ia sedang ditarik ke ibupejabat polis kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah.

“Alasan it tidak munasabah. Macam mana boleh berlaku litar pintas pada bateri sedang (enjin) kereta itu tidak boleh dihidupkan tanpa menggunakan kunci, dan saya yang menyimpan kunci kereta itu," katanya ketika dihubungi.

“Ini jelas (satu bentuk) tindak balas polis kerana kami tidak memberi kerjasama ketika mereka mahu menangkap kami. Dan saya fikir polis menjadi sangat marah apabila Tian Chua menggigit seorang daripada mereka," katanya.

Abdul Razak dan Tian telah membuat laporan polis berasingan di ibupejabat polis kontinjen tersebut.

Siasatan puncanya

Ketika dihubungi, Sarjan Roslan Awang, ketua aktiviti operasi di balai polis Tun HS Lee berkata, pihak sedang menunggu laporan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat.

Polis, katanya, akan menunggu pengesahan punca kebakaran itu sebelum menjalankan sebarang siasatan jika disyaki berlaku sebarang perbuatan jenayah.

Di luar bangunan Parlimen semalam, 26 pemimpin dan anggota Bersih ditahan tetapi kemudiannya dilepaskan selepas polis mengambil butiran diri mereka.

Semua jalan masuk ke Parlimen ditutup semalam dan anggota polis mengawal di sekitar Kuala Lumpur untuk menghalangkan anggota Bersih berhimpun di kawasan parlimen. Polis juga mendapatkan perintah dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk menghalang mereka berbuat demikian.

Pada 10 November, Bersih telah menganjurkan perhimpunan yang dihadiri oleh 40,000 orang untuk menyerahkan memorandum kepada wakil Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, menuntut diadakan pilihanraya bersih dan adil. Berita asal