Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persaingan antara keluarga, legasi politik warnai PRN Sabah

PRN Sabah kali ini nampaknya bukan sekadar perebutan kerusi di antara calon dan parti yang bertanding, malah boleh dilihat sebagai persaingan antara keluarga berpengaruh di negeri itu.

Ia melibatkan anggota keluarga di Istena Negeri, sehinggalah ke menteri dan pengasas parti politik yang bersaing di bawah pelbagai gabungan.

Keadaan itu menjadikan PRN ke-17 ini antara yang paling banyak diisi oleh pertembungan keluarga dalam sejarah moden Sabah.

Setahun selepas Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, keluarganya kembali aktif secara langsung dalam landskap politik.

Anak-anak, adik, anak saudara dan menantu Musa bertanding di bawah pelbagai parti seperti berikut:

  • Yamani Hafez Musa: Anak, bekas timbalan menteri kewangan - bertanding di Sindumin mewakili PKR.

  • Hazem Mubarak Musa: anak, bertanding di Sungai Manila mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

  • Anifah Aman: Adik, Presiden Parti Cinta Sabah, bertanding di Bongawan, juga di mewakili GRS.

  • Annuar Ayub Aman: Anak saudara, mempertahankan kerusi Liawan di bawah GRS.

  • Ishak Ayub Aman: Adik Annuar, dan seorang lagi anak saudara Musa, bertanding di Bingkor mewakili Parti Solidariti Tanah Airku (Star). Annuar dan Ishak ialah anak kepada bekas menteri Sabah era Berjaya, Ayub Aman. Ayub merupakan abang kepada Musa.

  • Arifin Arif: Menantu, bertanding semula di Membakut di bawah GRS.

Di Liawan, Nik Nadzri Nik Zawawi, sepupu keluarga itu, bertanding mewakili Umno, sekali gus menjadikan pertembungan di kerusi itu sebagai persaingan antara sepupu — Annuar (GRS) dan Nadzri (Umno).

Secara keseluruhan, keluarga Musa kini bertanding di sekurang-kurangnya enam kawasan.

Musa Aman

Ia menunjukkan betapa pengaruh keluarga Musa masih kuat dalam politik Sabah walaupun dia kini memegang jawatan gabenor yang sepatutnya tidak berpihak kepada mana-mana parti.

Tempoh selama 15 tahun Musa menjadi ketua menteri (2003–2018) menyaksikan pembangunan infrastruktur dan kemajuan fiskal negeri sering dijadikan modal kempen oleh ahli keluarganya untuk menarik pengundi berusia.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah, Lee Kuok Tiung, berkata penyertaan keluarga Musa dalam pelbagai parti mencerminkan sifat politik Sabah yang unik.

“Keluarga mereka memang datang dari latar politik dan setiap individu ada kelebihan sendiri, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

“Anifah pernah jadi menteri luar, manakala Hafez bekas timbalan menteri kewangan II. Tapi mereka kini dalam parti berbeza. Ini menunjukkan betapa ‘cairnya’ politik Sabah,” katanya kepada Malaysiakini.

Anifa Aman

Ditanya sama ada penyertaan besar-besaran itu menunjukkan wujud satu tokoh pengarah utama, Lee menegaskan ia lebih menggambarkan keanjalan politik keluarga Sabah daripada satu arahan pusat.

“Setiap individu berdiri atas kekuatan sendiri. Hubungan kekeluargaan di sini lebih kepada rangkaian, bukan rantaian arahan,” katanya.

Sementara itu, ada satu lagi keluarga politik ternama turut kembali ke gelanggang.

Yong Teck Lee yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) dan pernah menjadi ketua menteri tidak bertanding kali ini. Pun begitu dua anaknya, Yong Yit Jee, 38, dan Yvonne Yong Pit Phung, 40, akan terlibat secara langsung.

Yit Jee yang merupakan seorang peguam dicalonkan untuk bertanding di Likas, manakala Yit Phung – seorang ahli perniagaan – diletakkan bertanding di Segama.

Pandikar Amin Mulia

Di utara Sabah pula, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan bekas speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia, membuat kemunculan semula.

Lebih menarik, menyertai PRN kali ini bersama Pandikar Amin ialah isterinya, Diana Diego, sekali gus melakar sejarah tersendiri dalam politik negeri berkenaan.

Pandikar Amin bertanding di Pintasan, manakala Diana bertanding di Sekong di bawah tiket Usno-GRS.

Sabah akan mengundi pada 29 Nov, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS