Operasi pengusiran rumah Kampung Jalan Papan, Pandamaran yang masuk hari keempat hari ini menyaksikan sembilan lagi ditahan polis.
Ketika dihubungi, jurucakap Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.
“Sejak pagi, pihak polis mengambil tindakan tegas. Tindakan menahan mereka yang cuba melindungi rumah penduduk semakin ketat.
“Setakat jam 11 pagi, sekurang-kurangnya sembilan individu telah ditahan oleh pihak polis," katanya.
PSM mendakwa pihak ditahan terdiri daripada enam aktivis PSM, dan seorang penduduk kampung, serta aktivis kumpulan pelajar Mandiri. Seorang lagi individu belum dikenal pasti daripada kumpulan mana.
Berikut senarai yang ditahan hari ini:
- Sivaranjani Manickam (setiausaha agung PSM)
- Soh Sook Hwa (bendahari PSM)
- Aein Aneera binti Anuar (aktivis PSM Pulau Pinang)
- Ramasamy Karupan (aktivis PSM Klang)
- Tan Ka Wei (aktivis PSM Kuala Lumpur)
- Hridhay Praveen (aktivis PSM)
- Wong Kueng Hui (Mandiri)
- Tang Bing Ai (penduduk kampung)
- Muhammad Fakrurrazzi Khairur Rijal
Menurut jurucakap PSM, mereka ditahan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang pegawai kerajaan melaksanakan tugas.
Semalam, polis menahan Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan, aktivis M Mythreyar dan wakil penduduk M Logesvaran.


Operasi perobohan Kampung Papan yang bermula pada Isnin dijangka akan disambung sehingga esok (Jumaat).
Penduduk mendesak Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, turun padang segera bagi mencari penyelesaian untuk lebih 83 keluarga yang masih menetap di kawasan itu.
Daripada 83 rumah, 44 daripadanya mendapat perintah injunksi sementara. Mahkamah dijangka akan menentukan status 44 rumah itu pada 8 Dis.
Sebelum ini, kerajaan negeri dan pihak pemaju bersetuju bahawa kerja-kerja perobohan dihadkan kepada rumah dan premis perniagaan yang kosong.
