Bekas jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp, akan bertugas sebagai penganalisis bola sepak bagi MagentaTV sepanjang Piala Dunia 2026 yang berlangsung di AS, Mexico dan Kanada, lapor Deutsche Presse-Agentur (dpa) memetik perkhidmatan penstriman berkenaan.
“Saya benar-benar mahu merasai pengalaman Piala Dunia ini dari perspektif seorang pakar.
“Pada masa yang sama, saya sedar bahawa kejohanan panjang ini mempunyai cabaran uniknya tersendiri,” kata Klopp.
Dia mempunyai pengalaman dalam bidang penyiaran apabila pernah bekerjasama dengan penyiar Jerman, ZDF, semasa Piala Dunia 2006 dan Euro 2008.
Sebelum ini, MagentaTV mengumumkan bahawa anggota skuad Jerman yang menjuara Piala Dunia 2014, Thomas Muller, turut akan bertugas sebagai penganalisis bagi kejohanan tersebut.
MagentaTV akan menyiarkan semua 104 perlawanan Piala Dunia tahun depan. Perkhidmatan penstriman berbayar itu memiliki hak eksklusif untuk 44 perlawanan.
Klopp meletakkan jawatan di Liverpool tahun lepas dan sejak awal 2025 dia berkhidmat sebagai ketua global bola sepak untuk Red Bull, dengan antara tanggungjawabnya termasuk mengurus bersama kelab Bundesliga, RB Leipzig.
- Bernama/dpa
