Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penamaan calon, kempen menangi hati pengundi bermula
Diterbitkan:  Nov 15, 2025 8:51 AM
Dikemaskini: 12:51 AM

Medan pertarungan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 membuka gelanggangnya hari ini dengan proses penamaan calon di 25 lokasi bermula bagi merebut 73 kerusi yang dipertandingkan.

Tempoh satu jam diberikan iaitu dari pukul 9 hingga 10 pagi untuk penyerahan borang pencalonan sebelum pegawai pengurus pilihan raya (RO) mengumumkan senarai calon yang layak bertanding.

Calon kemudiannya mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen bagi meraih sokongan pengundi, iaitu sehingga jam 11.59 malam pada 28 Nov ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti politik yang bertanding serta penyokong supaya bersama-sama memastikan ketenteraman awam semasa proses penamaan calon hari ini, khususnya mengelakkan sebarang bentuk provokasi.

Bagi melancarkan PRN ke-17 Sabah, SPR telah melantik 25 RO dibantu oleh 196 penolong pegawai pengurus dan 33,002 petugas.

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata 15 lokasi panas yang memerlukan kawalan keselamatan rapi dikenal pasti pada PRN ini dengan tumpuan khusus di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dan kawasan pantai timur.

Katanya 9,300 pegawai dan anggota polis ditempatkan di seluruh Sabah termasuk pasukan dari jabatan siasatan jenayah (CID) dan pasukan penggempur ringan (LSF) atau pasukan simpanan persekutuan (FRU) di kawasan tertentu.

Penempatan itu termasuk penugasan 4,300 pegawai dan anggota di 25 pusat penamaan calon di seluruh negeri hari ini bagi mengawal trafik selain pemantauan terhadap bangunan pentadbiran dan Istana Seri Kinabalu.

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah ialah pada 25 Nov, manakala hari pengundian penuh pada 29 Nov.

Sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan, dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.

Setakat 10 malam tadi, PKR telah mengumumkan 10 calon dan DAP tujuh, yang kesemuanya bertanding atas tiket PH.

BN pula – yang melibatkan Umno, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan seorang calon langsung – akan bertanding di 45 kerusi.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan akan bertanding di 55 kerusi terdiri daripada calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Bersatu Sabah (PBS), dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Selain itu Warisan, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Impian Sabah masing-masing mengumumkan bertanding di semua 73 kerusi. PN pula meletakkan calon di 41 kerusi manakala Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bertanding di 40 kerusi.

Sementara itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) mengumumkan bertanding di 25 kerusi, Parti Kerjasama Anak Negeri (26 kerusi), Parti Maju Sabah (6 kerusi).

Seramai 17 lagi calon bebas bergerak atas nama Gelombang Hitam (Black Wave) turut mengambil bahagian.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS