Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin berdepan saingan enam penjuru bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pegawai pengurus pilihan raya, Yuesri Ismail Yusof, mengumumkan perkara itu di pusat penamaan calon di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan hari ini.
Bung Moktar ditentang Johainizamshah Johari dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Salahuddin @ Saalahuddin Anoi (Parti Impian Sabah - PIS), Mohd Saifulah Lokman (Warisan), Mohd Ismail Ayob (bebas) dan Mazlin Madali (PN).
Pada PRN lalu Bung Moktar menang di kerusi Lamag – yang pertama kali dipertandingkan – dengan majoriti 661 undi.
DUN Lamag mempunyai 13,859 pengundi berdaftar.
Bagi DUN Kuamut yang mempunyai 18,228 pengundi, penyandangnya Masiung Banah (GRS) ditentang tujuh pencabar iaitu Mohina Ronnie Sidom (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu - Upko), Ted Kelvin Sudin (PIS), John Sungkiang (Parti Perpaduan Rakyat Sabah - PPRS), Norfaizah Chua (Warisan), Duin Bintarang (bebas), Abu Bakar Ellah (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat - KDM) dan Jevronnie Mandek (Parti Solidariti Tanah Airku - Star).
Sementara itu, kerusi DUN Sukau menyaksikan Setiausaha BN Sabah Jafry Ariffin selaku penyandang berdepan saingan tujuh penjuru.
Jafry dicabar Juhari Janan (GRS), Afiq Anwari Zulkifli (Parti Kebangsaan Sabah - PKS), Roslan Madali (PIS), Azahari Rangon (Warisan), Nordin Damit (Perjuangan Rakyat - PR), Datuk Juhari Janan (GRS) dan Pengiran Petra Pengiran Asri (PN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 29 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
- Bernama
