Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bertembung dengan sekutu: Hanya persaingan secara 'bersahabat' - Ramanan

PRN SABAH | Walaupun pada awalnya dilihat sebagai sebahagian daripada “cinta tiga segi” antara BN, PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beberapa calon PKR akan bertembung dengan sekutu mereka apabila kempen pilihan raya Sabah bermula hari ini.

Naib Presiden PKR, R Ramanan bagaimanapun cuba meredakan kebimbangan mengenai pertembungan itu di kerusi Moyog dan Bandau, dengan menegaskan ia hanyalah pertembungan “secara bersahabat” antara sekutu.

Menurutnya, pertindihan seperti itu ekoran pelarasan saat akhir dan tidak dijangka akan menjejaskan hubungan antara gabungan sekutu di peringkat persekutuan.

“Kita memang ada kerjasama antara PH dan GRS. Tetapi ini hanya satu daripada dua atau tiga kerusi di mana kita bertembung.

“Dalam keluarga pun, ibu dan ayah tidak sentiasa bersetuju dalam semua perkara,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi Moyog dan Kapayan di Penampang, Sabah, hari ini.

Kerusi Bandau dan Moyog menyaksikan pertembungan antara calon PKR dengan GRS, walaupun PH dan GRS bekerjasama dalam PRN ini.

Di Bandau, PKR meletakkan Zaidi Jatil yang akan berdepan dengan calon baru BN, Willey Lampaki, yang juga bekas yang dipertua Majlis Daerah Kinabatangan.

Zaidi Jatil

Ramanan berkata PKR kekal yakin selepas menyaksikan sokongan kuat terhadap calon parti itu di pusat penamaan calon.

“Jika kita lihat calon PH, Remysta, kita dapat lihat sokongan dari luar. Kita antara yang terbesar di Moyog,” katanya sambil menambah bahawa PH  juga bersedia menghadapi pertindihan kerusi.

“Satu atau dua isu kecil bukanlah apa-apa. Di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, dia mempunyai hubungan kerja yang sangat baik, bukan saja dengan Zahid Hamidi tetapi juga dengan Hajiji Noor,” katanya lagi.

Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud turut sependapat dengan Ramanan, berkata dua calon tambahan parti itu adalah sebahagian daripada pelarasan semula selepas perubahan yang dibuat oleh BN dan GRS.

“Penambahan ini bukan sekadar strategi untuk memperkukuh jentera, tetapi mencerminkan komitmen PKR Sabah,” katanya.

Katanya lagi, keputusan itu adalah usaha jangka panjang untuk mengangkat pemimpin muda.

“Anak muda sudah lama menjadi tulang belakang gerakan reformasi, dan kini tiba masanya mereka diberi ruang untuk memimpin,” katanya.

Ketika ditemui, Remysta, 37, berkata dia hanya dimaklumkan dua hari sebelum hari penamaan calon yang dirinya akan bertanding di Moyog.

“Itu keputusan kepimpinan, bukan keputusan saya. Saya diminta untuk bertanding – dan saya gembira untuk bertanding,” katanya.

Ditanya mengenai pertandingan 12 penjuru, Remysta  berkata: “Demokrasi bermaksud sesiapa sahaja yang mahu bertanding boleh bertanding. Jika mereka mahu bertanding, itu hak mereka.”

Calon GRS daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Joeynodd Bansin turut menepis kebimbangan mengenai pertembungan itu, dengan berkata keputusan sepenuhnya di tangan pimpinan parti.

“Saya serahkan keputusan ini kepada kepimpinan tertinggi. Setakat ini, tiada pengaturan. Saya percaya ini keputusan muktamad oleh kepimpinan,” kata Joeynodd, sambil menambah dia juga hanya dimaklumkan mengenai pencalonannya pada dua hari lalu.

Berhubung ramainya calon di kerusi DUN itu, Joeynodd berkata: “Lebih ramai yang bertanding, lebih berpecah undinya. 

“Itulah demokrasi. Setiap calon tahu perkara ini,” katanya lagi.

Pada 3 November lalu, Hajiji juga sebelum ini dilaporkan mengakui bahawa akan ada beberapa pertembungan dengan PH dalam PRN kali ini.

Jamawi Jaafar dan George Hiew

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) itu berkata dia tiada masalah dengan beberapa bekas ahli partinya, Jamawi Jaafar (Melalap) dan George Hiew (Karamunting), yang kali ini bertanding atas tiket PH.

Di Karamunting, Hiew akan bertanding dalam pertandingan lima penjuru menentang calon BN daripada MCA, Chin Kim Hiung, serta tiga lagi calon lain.

Selain PKR, calon PH daripada DAP, Noorita Sual akan mencabar penyandang kerusi Kemabong daripada GRS, iaitu Timbalan Presiden Gagasan, Rubin Balang.

Ketua Wanita Umno Tenom, Rahmah Jan Sulaiman juga akan bertanding di situ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS