Kelima-lima pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah dihadapkan ke mahkamah, demikian rayuan pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) India dalam pertemuan mereka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi tadi.

Perjumpaan tertutup itu, yang berlangsung selama dua jam, bermula kira-kira jam 10.20 pagi. Turut hadir ialah Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Menurut satu sumber yang turut menghadiri pertemuan tersebut, Perdana Menteri memulakan ucapannya dengan menyentuh tentang isu Hindraf.

"Kita sebulat suara merayu kepada beliau supaya menyemak semula penggunaan ISA dan dakwa mereka di mahkamah terbuka," tambahnya.

Turut dibangkitkan ialah mengenai kes 31 penyokong Hindraf yang didakwa atas tuduhan cubaan membunuh dan kini ditahan kerana tidak dibenarkan ikatjamin.

"Kita memberitahu beliau bahawa orang yang tidak bersalah juga ada dalam kumpulan tersebut, dan perdana menteri berjanji untuk menelitinya," kata beliau lagi.

Ganti tuduhan?

Seramai 31 orang itu ditahan berhubung dengan perhimpunan anjuran Hindraf pada 25 November lalu di Kuala Lumpur yang disertai oleh kira-kira 30,000 orang.

Difahamkan bahawa tuduhan cubaan membunuh itu mungkin digugurkan, dan digantikan dengan tuduhan menyertai perhimpunan haram.

Semalam, polis menahan para penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar, M Manoharan, R Kenghadharan dan V Ganabatirau - serta setiausahanya T Vasantha Kumar di bawah ISA.

Semalam, Abdullah mendakwa Hindraf - yang mendakwa masyarakat India telah dipinggirkan dan berlakunya penghapusan etnik itu di Malaysia - cuba merosakkan negara.

Sementara itu, sumber tersebut menyifatkan pertemuan dengan Abdullah hari ini sebagai 'berhasil'.

"Perdana mendengar apa yang kita suarakan dan banyak isu-isu yang dibincangkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegur sebahagian daripada mereka yang hadir kerana tidak banyak menyumbang kepada perbincangan hari ini.

"Bukan mudah untuk mendapatkan peluang bertemu dengan perdana menteri untuk menyuarakan masalah kita, dan amat mengecewakan apabila mereka hadir tanpa bercakap apa-apa," katanya.

Sistem penyampaian kerajaan

Beliau juga tidak menolak kemungkinan mereka bersikap demikian kerana Samy Vellu hadir sama dalam pertemuan tersebut.

"Mungkin (mereka) tidak selesa (untuk bercakap)," katanya, sambil menambah presiden MIC itu hadir sebagai pemerhati.

Samy tidak bercakap apa-apa sepanjang pertemuan dengan perdana menteri itu, tetapi dilihat mencatatkan perkara yang dibangkitkan dalam perbincangan tersebut, kata sumber itu lagi.

Isu-isu lain yang turut dibincangkan termasuk status sosio-ekonomi masyarakat India dan bagaimana sistem penyampaian kerajaan tidak sampai ke peringkat akar umbi.

Perdana menteri juga diminta menimbang melaksanakan program bantu diri ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat India.

Bagaimanapun, seorang lagi sumber berkata, sebahagian daripada mereka yang hadir itu memuji MIC dan presidennya.

"Kerajaan mesti berhenti menangani masalah yang dihadapi masyarakat India, melalui MIC. Parti itu menjadi semakin tidak relevan," dakwanya.

"Ramai ahli MIC yang tidak puashati telah menyertai PPP dan kini ada Datuk KS Nallakaruppan yang menubuhkan sebuah parti baru (Parti Bersatu India Malaysia)," tambahnya.

Sumber itu berkata, kehadiran Samy Vellu mungkin menyebabkan sesetengah daripada mereka yang hadir itu keberatan untuk memberi pandangan secara terbuka.

Antara yang hadir dalam perbincangan hari ini ialah Hindu Sangam Malaysia, Pertubuhan Belia Hindu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, Kelab Bell Belia Tamil, Majlis Belia India Malaysia, Persatuan Perniagaan India Malaysia, Hindu Dharmam Mahamandram, National Land Cooperative Society Limited (NLFCS), Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW), Pesuruhjaya Suhakam Datuk N Siva Subramaniam dan pakar ekonomi Dr R Thillainathan. Berita asal