Kerajaan akan menahan beberapa lagi pemimpin dan penyokong kumpulan pelampau yang mendalangi perhimpunan haram di Kuala Lumpur mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum berkata kesemua mereka yang akan ditahan itu terbabit dalam mendalangi satu perhimpunan haram yang membangkitkan isu perkauman.

Nama individu terbabit sudah disenaraikan dan polis hanya menunggu proses penahanan selepas memperoleh bukti lengkap mengenai pembabitan mereka dalam perhimpunan haram baru-baru ini, katanya selepas merasmikan Majlis Mesra Rakyat Parlimen Kubang Pasu di sini, hari ini.

Bernama memetik Johari sebagai berkata, penggunaan ISA bukan boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya selagi tiada bukti pembabitan dalam aktiviti yang boleh mengancam dan menggugat keselamatan negara.

Katanya, penahanan lima pemimpin kumpulan pelampau itu sebelum ini adalah kerana terdapatnya bukti pembabitan mereka dalam menghasut dan menggugat keselamatan negara.

Mereka adalah pemimpin Hindraf, iaitu P Uthayakumar, M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan T Vasanthakumar.

Menurut Johari, mereka ditahan setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berpuas hati dengan laporan mengenai kegiatan mereka.