Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Abuya' didenda kerana mengajar tanpa tauliah, kelola guru agama
Diterbitkan:  Nov 19, 2025 7:20 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Seorang mudir yang juga pengusaha sebuah sekolah pondok dikenali sebagai Abuya hari ini didenda RM1,950 oleh Mahkamah Rendah Syariah Tumpat selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan - mengajar tanpa tauliah, dan mengelola guru agama tanpa kebenaran.

Mohamad Aswadi Yah, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim syarie Wan Azimin Wan Adnan. Dia tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Aswadi didakwa mengajar atau menyampaikan apa-apa perkara berkaitan agama Islam tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis Agama Islam Kelantan, serta mengelola atau menyelia guru agama tanpa kebenaran.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 117 dan Seksyen 118 Enakmen Majlis Agama Islam Kelantan Bilangan 4 Tahun 1994 yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Sebelum ini, media melaporkan operasi pondok milik Abuya diarahkan tutup pada 23 Okt lalu melalui tindakan yang diambil mengikut Seksyen 133 serta 135 Kaedah 37 Kaedah-Kaedah Pendaftaran dan Pengawalan Sekolah dan Institusi Pengajian Agama 1987.

Selain penutupan, notis kesalahan mengajar tanpa tauliah dan mengelola guru agama tanpa kebenaran turut dikeluarkan terhadap mudirnya mengikut Seksyen 117 serta Seksyen 118.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS