Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tubuh j'kuasa pastikan sistem panggilan kecemasan baru lancar
Diterbitkan:  Nov 21, 2025 8:42 PM
Dikemaskini: 12:42 PM

Kerajaan sedang menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama melibatkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Komunikasi bagi memastikan kelancaran operasi sistem panggilan kecemasan Next Generation Malaysian Emergency Response Services (NG MERS) 999.

Dalam kenyataan bersama oleh Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, jawatankuasa itu akan meneliti sistem berkenaan dari aspek teknikal dan operasi, selain berfungsi untuk menyelaras antara agensi dalam menangani kes-kes kecemasan.

“Ia juga akan memastikan penyampaian perkhidmatan kecemasan kekal lancar dan selamat, termasuk tindakan segera bagi penambahbaikan sistem dari semasa ke semasa.

“Ia juga akan menyediakan laporan mingguan kepada jemaah menteri mengenai status pelaksanaan, keberkesanan operasi, indikator prestasi utama, serta cadangan penyelesaian jangka pendek dan panjang,” kata mereka.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Kementerian Kesihatan akan kembali menggunakan sistem lama, MERS 999 buat sementara untuk panggilan kecemasan perubatan dan penghantaran ambulans. 

Ini berikutan aduan yang banyak panggilan kecemasan tidak berjaya disambungkan menerusi sistem baru, selain terdapat ambulans dihantar ke lokasi jauh di luar bidang kuasanya. 

Perkara itu turut disahkan oleh seorang pegawai Kementerian Kesihatan kepada Malaysiakini.

Tambah baik sistem

Sehubungan itu, Dzulkefly dan Fahmi berkata pihak berkuasa sedang berusaha secara berterusan untuk memastikan NG MERS 999 berfungsi pada tahap optimum. 

Kata mereka, kerja-kerja untuk menstabilkan sistem dan meningkatkan keupayaannya sedang dilaksanakan secara berperingkat, dengan memberi tumpuan kepada ketepatan data dan penyelarasan antara agensi.

“Integrasi aplikasi ini merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan sistem, dan bukan penggantian fungsi talian telefon 999,” kata mereka lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS