Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persaraan Panglima ATM, KP Perisikan tiada kaitan siasatan SPRM
Diterbitkan:  Nov 22, 2025 11:44 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Persaraan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Mohd Nizam Jaafar, dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Lt Jen Mohd Razali Alias tidak ada kaitan dengan siasatan Op Sohor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Bernama, hari ini.

“Tiada kena mengena dengan siasatan berkenaan,” katanya ringkas.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang mengaitkan persaraan dua pimpinan atasan ATM itu dengan penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera yang disyaki terlibat kes penyeludupan dadah pada Ogos lepas.

Menteri itu turut mengesahkan bahawa Mohd Nizam dan Mohd Razali akan bersara pada umur 60 tahun mengikut tarikh persaraan wajib masing-masing seperti biasa tahun hadapan.

Menurut sumber rasmi, Mohd Nizam dijadual mula bercuti 1 Jan tahun depan sebelum bersara wajib pada Ogos, manakala Mohd Razali pada Dis 2026.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS