Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengkritik salah laku dalam pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) khususnya membabitkan perolehan tender hospital universiti itu yang bernilai RM58.45 juta.
Baginda yang juga Canselor UKM bertitah, salah laku itu bukan sahaja memberi implikasi negatif kewangan, bahkan menggugat kualiti di Hospital UKM (HUKM) serta kredibiliti universiti berkenaan.
"Salah laku ini melibatkan tiga tender besar bernilai RM58.45 juta. Aduan ini kemudiannya disiasat dah disahkan benar oleh Jabatan Audit Negara (JAN).
“Beberapa syarikat yang tidak dapat kelulusan jawatan kuasa pemilih telah dilantik untuk melaksanakan projek-projek ini.
"Jika tidak diambil tindakan sewajarnya salah laku ini akan memberi implikasi negatif bukan sahaja dari segi kewangan, malah akan turut merendahkan mutu perkhidmatan, keselesaan, dan rawatan pesakit serta menjejaskan proses latihan para pelajar perubatan di HUKM.
“Ini juga sekali gus menggugat kualiti HUKM melemahkan kredibiliti UKM.
"Untuk memperbetulkan keadaan adalah penting untuk UKM memperbetulkan tatakelola, menjalani proses perubahan tatakelola dalam pentadbiran tindakan Kementeri Pendidikan Tinggi (KPT) berjalan dengan agak perlahan, akan tetapi langkah penting telah diambil iaitu dengan melantik naib canselor yang baru," titah baginda pada Sidang Canselor Majlis Konvokesyen ke-53 UKM di Bangi, hari ini.
UKM menarik perhatian ramai pada 3 Feb lalu apabila naib canselornya, Prof Mohd Ekhwan Toriman melepaskan jawatan secara sukarela. Dia juga mendakwa tuduhan yang dilontarkan terhadapnya merupakan satu fitnah.
Sehari kemudian Bernama melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Mohd Ekhwan dan ahli akademik terbabit mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
"Beliau telah menjalankan tugas dengan baik, turut dihormati oleh rakan-rakan, beliau telah menjadi NC (naib canselor) dan telah disambung, jadi atas kapasiti itu beliau merasa telah sampai masa (meletak jawatan)," katanya.
Pada 12 Feb pula Tuanku Muhriz menitahkan pengurniaan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan Mohd Ekhwan ditarik balik serta-merta.
"Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja di Negeri Sembilan," kata Pendaftar Darjah Datuk, Mohd Zafir Ibrahim.
Titah Tuanku Muhriz bagi meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai UKM selama ini, institusi pengajian tinggi itu perlu terus dipimpin oleh mereka yang berintegriti tinggi dan beramanah.
"Kejayaan telah dicapai akan musnah sekiranya para pentadbir universiti mengambil kesempatan atas kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi," titah baginda lagi.
Untuk rekod pada 31 Okt lalu Bernama juga melaporkan Tuanku Muhriz menitahkan agar Darjah Setia Negeri Sembilan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof Emeritus Dr Mohamad Abd Razak, ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Langkah itu dibuat bagi menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Mohamad dianugerahkan pinga yang membawa gelaran Datuk itu pada 2004.
