Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC Pahang kekal sokong BN hingga akhir penggal

MIC Pahang sudah memberi penjelasan kepada Pengerusi BN dan menteri besar negeri itu, Wan Rosdy Wan Ismail, mengenai usul yang diluluskan oleh perwakilan mereka dalam perhimpunan agung ke-79 parti tersebut minggu lalu.

Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam, berkata walaupun usul untuk keluar BN mendapat sokongan majoriti ketika mesyuarat berkenaan, namun menegaskan ia masih belum muktamad.

"Perkara ini sudah dijelaskan Presiden (MIC), SA Vigneswaran, bahawa keputusan akhir berkaitan perkara itu akan dibuat ahli CWC (jawatankuasa kerja pusat) parti.

"Saya pun ada dalam CWC dan kami belum mengadakan mesyuarat bagi membincangkan lebih lanjut usul berkenaan.

"Mengenai usul tersebut, saya sudah maklumkan kepada Datuk Seri Wan Rosdy yang saya akan terus menyokong BN Pahang sehingga penggal ini berakhir,” katanya kepada Malaysiakini malam tadi.

Dia ditemui semasa majlis sambutan Deepavali anjuran MIC Paya Besar dekat Kuantan.

Arumugam yang juga Adun Sabai – dalam kawasan parlimen Bentong – berkata pendirian itu dibuat kerana dia memenangi kerusi DUN tersebut pada 2022 atas tiket BN.

Untuk rekod Arumugam merupakan calon tunggal MIC di Pahang dalam PRU ke-15. Dia memenangi kerusi Sabai dalam pertandingan tiga penjuru, termasuk penyandang, D Kamache dari DAP.

MIC merampas kerusi tersebut dengan majoriti 96 undi.

Mengulas lanjut, Arumugam menjelaskan, walau apa pun keputusan yang diambil CWC MIC nanti, dia sebagai “orang parti' “ akan tetap akur, termasuk jika akhirnya parti berkenaan memilih haluan berbeza daripada BN.

Bagaimanapun, Arumugam juga memaklumkan MIC Pahang tidak pernah mengadakan pertemuan dengan wakil PN bagi membincangkan hala tuju parti itu.

"Kalau setakat jumpa ketika sidang DUN, itu biasalah... tapi untuk berbincang (untuk menyertai PN), memang tidak pernah.

"Saya pun masih bersama BN kerana kerajaan negeri banyak membantu (MIC Pahang).

"Jadi, saya fikir apa yang Presiden (MIC) cakap mengenai Adun yang menang guna tiket BN perlu kekal (sokong BN) sampai habis penggal, itu sudah cukup jelas," ujarnya.

Arumugam juga memberitahu, usaha untuk memulihkan hubungan di antara MIC dan Umno sedang berjalan dan dia menyambut baik kenyataan dibuat Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan juga Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir.

"Mungkin selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kita boleh duduk semeja dan minum kopi bersama untuk membincangkan hal ini dengan lebih teliti," katanya.

Sementara menunggu PRN Sabah selesai, dia menegaskan akan terus memberi sokong penuh tanpa berbelah bahagi kepada BN Pahang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS