Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KL pertimbang permintaan Mesir anjur bersama sidang Gaza

Mesir telah mengemukakan permintaan agar Malaysia bukan saja menyertai Persidangan Pembangunan Semula Gaza tetapi turut menjadi penganjur bersama, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Bercakap kepada media Malaysia pada akhir lawatan kerjanya di Johannesburg, perdana menteri berkata, rakan sejawatannya dari Mesir, Mostafa Madbouly, menyampaikan salam daripada Presiden Abdel Fattah el-Sisi bersama-sama cadangan tersebut.

Kedua-dua pemimpin terbabit bertemu di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di bandar raya Afrika Selatan itu.

“Mesir menyatakan hasrat agar Malaysia menghadiri persidangan pembangunan semula Gaza dan turut menjadi penganjur bersama.

“Saya memaklumkan beliau bahawa saya akan terlebih dahulu mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Luar Malaysia sebelum membuat keputusan muktamad,” kata Anwar.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Persidangan itu bertujuan untuk mendapatkan persetujuan semua negara Arab, Islam, AS dan lain-lain supaya pelaksanan fasa satu pembangunan Gaza dilihat secara lebih menyeluruh.

Kata Anwar, Malaysia bersetuju fasa pertama pembangunan yang digagaskan oleh Presiden AS Donald Trump.

“Tetapi kita tekankan bahawa penyelesaiannya harus lebih menyeluruh dan komprehensif, itu yang selari dengan dasar kita,” kata Anwar.

Anwar berkata dia juga bertemu Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva yang bercakap mengenai operasi Petronas di negara itu.

“Lula berbangga dengan pencapaian Petronas di sana dan mahukan syarikat itu mengembangkan operasinya,” kata perdana menteri.

Ini merupakan kali kedua Anwar menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai negara jemputan selepas pertama di Brazil pada tahun lalu.

Tahun ini, jemputan diterima daripada Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi Asean bagi 2025.

Anwar akan berlepas ke Nairobi, Kenya bagi melengkapkan siri lawatan tiga negara beliau di Afrika.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS