Kumpulan Dolla yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini sudah membatalkan konsert mereka yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 Dis ini ekoran isu kelulusan permit daripada pihak berkuasa.
Kumpulan tersebut menjelaskan bahawa mereka tidak mahu mengambil risiko lebih lama atau pembatalan saat-saat akhir sekiranya permit masih tidak dikeluarkan beberapa hari sebelum acara tersebut berlangsung.
Seorang daripada anggota kumpulan itu, Sabronzo, berkata penganjur dan pihak pengurusan kumpulan terbabit belum dapat menyelesaikan permit seperti yang dirancang.
“Tanpa kelulusan tersebut, kami tidak dapat meneruskan konsert.
“Dengan itu, Dolla dan pasukan kami tak sanggup berdepan keadaan seperti konsert dibatalkan dua atau tiga hari sebelum berlangsung. Itu lebih memalukan.
“Jadi keputusan ini walaupun pahit terpaksa kami terima,” katanya dalam video yang diterbitkan di media sosial malam tadi.
Selain Sabronzo – atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli – Dolla turut dianggotai Tabby (Tabitha Ariel Lam) dan Angel (Angelina Chai).
Pada 6 Nov lalu Dolla mengeluarkan sebuah video muzik pada yang mendapat kecaman daripada golongan konservatif di media sosial terkait pakaian mereka yang mencolok mata. Antara yang menyatakan rasa tidak senang ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Na’im Mokhtar.
Minggu lalu video muzik itu juga diturunkan dari YouTube.
Mohd Na’im menyifatkan pakaian Dolla sebagai tidak sesuai dan tidak menghormati sensitiviti budaya serta agama, selain memberi gambaran bahawa tindakan undang-undang syariah mungkin dipertimbangkan ke atas anggota kumpulan yang beragama Islam.
Menteri terbabit juga menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menilai semula garis panduan pakaian untuk selebriti Muslim.
Susulan itu, Universal Music Malaysia menurunkan video muzik Dolla dan memohon maaf atas kecuaian mereka terhadap sensitiviti budaya.
Ia juga telah mengundang kritikan daripada orang ramai, termasuk aktivis sosial dan peguam Latheefa Koya, yang menyuarakan rasa tidak senang terhadap kenyataan Mohd Na’im.
Latheefa mengingatkan bahawa menteri terbabit tidak berhak membuat ancaman sedemikian, sambil menambah bahawa mereka tidak boleh menyiasat atau mendakwa rakyat.
Sementara itu Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, menjelaskan bahawa pembatalan konsert itu bukanlah keputusan yang mudah.
“Kami memohon maaf atas kesulitan dan kekecewaan yang berlaku," katanya.
Dia juga menyatakan peminat yang sudah membeli tiket akan mendapat pemulangan bayaran secara automatik dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Secara berasingan malam tadi, Dolla mengulangi penghargaan mereka terhadap peminat dan menyatakan rancangan untuk mengadakan acara alternatif untuk bertemu peminat mereka pada tarikh konsert yang dijadualkan itu.
“Kami tahu anda telah menunggu begitu lama untuk melihat kami di atas pentas, dan kami akan terus bekerja keras untuk memberikan anda persembahan yang bagus dalam masa terdekat.
“Ini bukan pengakhiran, malah, ini adalah permulaan era baru.
“Kami berjanji kami akan kembali dengan persembahan hebat yang benar-benar berbaloi untuk dinanti-nantikan,” kata Angel.
