Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konvo: UiTM longgar larangan jurugambar bebas, tapi bersyarat

Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak lagi melaksanakan larangan penuh terhadap jurugambar bebas sepanjang istiadat konvokesyen di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), sebaliknya memperkenalkan beberapa syarat baharu yang wajib dipatuhi.

Yang Dipertua MPP UiTM Shah Alam, Mohamad Adib Hazim memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Majlis Eksekutif Tertinggi UiTM selepas meneliti kebimbangan graduan serta penyedia perkhidmatan fotografi yang terjejas susulan larangan tular baru-baru ini.

Pada masa sama, dia menolak tanggapan UiTM cuba menyekat sumber rezeki jurugambar bebas.

“UITM tidak berhasrat sama sekali menutup periuk nasi jurugambar bebas atau menyebabkan graduan rugi dari segi kewangan dan kenangan,” tegasnya pada satu kenyataan.

Menurutnya, jurugambar bebas kini dibenarkan beroperasi tetapi perlu mematuhi tatatertib universiti, termasuk aspek pemakaian, larangan merokok, serta memastikan mereka tidak memasuki kawasan DATC ketika perarakan tetamu kehormat berlangsung.

Adib turut menegaskan bahawa semua jurugambar bebas wajib hadir mengikut waktu yang ditetapkan antara 10 pagi hingga 6.30 petang dan mendaftar melalui kod QR di ruang legar luar DATC.

“Mereka hanya perlu mengimbas kod QR dan mengisi borang pendaftaran untuk mendapatkan kebenaran urusetia,” katanya.

Pautan dan paparan fizikal kod QR itu, jelasnya, telah disiarkan secara atas talian dan turut dipamerkan di beberapa lokasi sekitar DATC bagi memudahkan proses pendaftaran.

Sebelum ini, tular larangan kehadiran jurugambar bebas yang ditampal di sekitar DATC sepanjang konvokesyen, menyebabkan kekeliruan dalam kalangan jurugambar serta graduan yang sudah membuat tempahan awal.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 berlangsung dari 19 November hingga 9 Disember.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS