Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Geramm kecam serangan terhadap wartawan senior, gesa siasatan segera
Diterbitkan:  Nov 25, 2025 7:53 PM
Dikemaskini: 2:32 PM

Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap wartawan senior dan pengasas TwentyTwo13, Haresh Deol, ketika dia sedang menjalankan tugas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Geramm menyifatkan tindakan berunsur kekerasan dan intimidasi terhadap wartawan sebagai perbuatan tidak bertamadun serta bercanggah dengan prinsip kebebasan media dalam sistem demokrasi.

"Serangan fizikal terhadap seorang wartawan bukan sahaja mengancam keselamatan individu, tetapi juga menjejaskan hak orang awam untuk menerima maklumat tepat serta bebas tekanan.

"Geramm menggesa pihak polis untuk menyiasat insiden ini dengan segera dan telus, termasuk mengenal pasti motif dan individu yang tebabit," katanya.

Terdahulu, Haresh diserang dua individu ketika ingin memasuki keretanya di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Menerusi akaun aplikasi X miliknya, Haresh memaklumkan diserang individu berkenaan dengan salah seorang turut merakam video kejadian itu.

Susulan itu, Haresh tampil membuat laporan polis.

Mengulas lanjut, Geramm juga mahu tindakan tegas terhadap pelaku bagi menghantar mesej jelas bahawa keganasan terhadap wartawan tidak boleh diterima dalam apa jua bentuk.

"Memastikan keselamatan petugas media ketika melaporkan isu-isu berkepentingan awam.

"Geramm juga menyeru semua pihak, termasuk pemimpin politik dan masyarakat umum, untuk menghormati peranan wartawan sebagai penyampai maklumat dan bukannya menjadikan mereka sasaran ancaman atau serangan," katanya.

Menteri gesa siasatan segera

Sementara itu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menggesa siasatan segera dijalankan.

"Saya telah menghubungi saudara Haresh untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian yang berlaku petang tadi.

"Haresh memaklumkan bahawa beliau baru selesai membuat laporan polis dan kini sedang menyelesaikan urusan laporan perubatan.

"Saya harap siasatan dapat dijalankan dengan segera. Keselamatan pengamal media, lebih-lebih lagi ketika mereka menjalankan tugas, sama sekali tidak boleh dikompromi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS