Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh susulan peletakan jawatan setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dikaitkan dengan dakwaan penerimaan rasuah daripada seorang ahli perniagaan.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata siasatan tidak boleh tertumpu kepada penerima sahaja, sebaliknya turut merangkumi individu yang didakwa memberi imbuhan, termasuk ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei.

"Pemberi imbuhan juga perlu didakwa dan dipertanggungjawabkan dengan tindakan undang-undang jika terbukti bersalah selaras dalam peruntukan undang-undang.
"Ini untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan secara menyeluruh, di mana ia turut meliputi usaha membasmi rasuah secara tuntas.
"Bahkan tindakan perundangan seperti ini adalah penting untuk memberi tindakan agar perbuatan memberi serta meminta rasuah dapat dibasmi pada masa mendatang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tei mendedahkan kepada Malaysiakini bahawa dia membelanjakan RM629,000 menyuap Shamsul mendakwa dia diyakinkan bahawa pegawai perdana menteri itu boleh mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.
Antara lain, ahli perniagaan itu mendakwa telah membayar untuk pengubahsuaian, peralatan dan perabot untuk dua hartanah – satu di Bangsar dan sebuah kediaman rasmi di Putrajaya.
Tei juga membekalkan Malaysiakini dengan tangkapan layar perbualan WhatsApp dari Disember 2023 dengan Shamsul yang meminta wang semasa melancong ke luar negara.

Kemudian, satu video dikeluarkan memaparkan seorang wanita - yang didakwa proksi Shamsul - mendakwa bahawa Anwar memberi restu kepada pengerusi PKR Melaka itu untuk mendorong Tei merakam video rahsia ahli politik Sabah yang membincangkan rasuah.
Shamsul semalam, meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan Anwar.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata bahawa sebarang dakwaan kecurangan tidak boleh dibiarkan berlegar sebagai persepsi, tetapi perlu dibuktikan secara objektif melalui proses undang undang yang adil dan saksama.
"Abim menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada tekanan politik.

"Jika terbukti wujud pelanggaran undang undang, maka tindakan tegas mesti diambil.
"Sebaliknya, jika tiada asas terhadap dakwaan tersebut, proses ini penting untuk membersihkan nama dan memulihkan keyakinan awam," katanya.
