mk-logo
Berita
Banjir Kelantan memburuk, lebih 10,000 dipindahkan
Diterbitkan:  Nov 26, 2025 4:55 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Keadaan banjir di Kelantan terus meruncing apabila jumlah mangsa meningkat kepada 10,580 orang setakat 4 petang, menjadikan negeri itu paling teruk terjejas ketika lapan negeri masih dilanda banjir.

Seramai 4,024 keluarga kini ditempatkan di 61 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan jajahan — Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.

Menurut laman Infopublic Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di beberapa sungai utama di Kelantan terus meningkat, dengan beberapa stesen mencatat bacaan melepasi tahap amaran dan bahaya.

Portal Bencana Pusat kawalan Bencana Negara menyatakan setakat ini seramai 29,569 mangsa banjir ditempatkan di 181 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

Sementara itu, banjir di Kedah, Perlis, Perak dan Terengganu menunjukkan perkembangan perlahan dengan jumlah mangsa masih bertambah.

Perlis merekodkan 6,593 mangsa dipindahkan ke PPS, Kedah (3,045 mangsa), Perak (4,366) dan Terengganu (2,416 mangsa).

Di Selangor, seramai 2,496 mangsa ditempatkan di PPS manakala situasi di Pahang dan di Pulau Pinang tidak banyak berubah setakat 4 petang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS