Kemaskini 1.11 tengah hari | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 31.29 peratus pengundi telah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah setakat 11 pagi hari ini.
Ini bersamaan dengan 545,391 orang daripada 1.7 juta pengundi berdaftar yang berhakl memilih wakil rakyat di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebanyak 882 pusat pengundian di seluruh Sabah dibuka secara rasmi pada 7.30 pagi tadi.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun dipetik Bernama berkata angka itu sedikit rendah berbanding PRN Sabah ke-16 pada 2020 yang mencatat kira-kira 32 peratus bagi waktu yang sama.

Katanya, SPR mengekalkan unjuran awal kadar keluar mengundi kira-kira 60 peratus, berbanding 65 peratus pada PRN lepas dengan mengambil kira risiko hujan lebat.
“Berdasarkan maklumat yang kita terima, ada beberapa kawasan yang hujan, tetapi keadaan itu tidak menghalang pengundi keluar (menunaikan tanggungjawab mereka),” katanya sambil menjelaskan semua 882 pusat mengundi bagi PRN Sabah berjaya dibuka tepat pada 7.30 pagi tadi walaupun beberapa kawasan mengalami cuaca hujan.
Sementara itu, Ramlan (gambar bawah) memaklumkan SPR akan membawa keluar kertas undi dari 85 pusat mengundi di kawasan terpencil seperti pulau dengan menggunakan helikopter bagi mengelakkan kelewatan.
"Pusat-pusat mengundi tersebut ditutup pada 12 tengah hari kerana mempunyai jumlah pengundi kurang daripada 100 orang.

“Kita sudah belajar daripada pengalaman. Sama-sama kita berdoa mudah-mudahan kita dapat terima keputusan menjelang tengah malam,” katanya.
PRN Sabah ke-17 kali ini menyaksikan 596 calon bertanding merebut 73 kerusi DUN, menjadikannya antara pilihan raya negeri paling sengit dengan pertandingan pelbagai penjuru di hampir semua kawasan.
