Presiden MTUC Syed Shahir Mohamud berkata beliau mungkin sukar menjalankan tugasnya memimpin kongres tersebut dengan berkesan kerana sebahagian besar jawatankuasa barunya dimenangi oleh kumpulan yang tidak sealiran dengannya.

Beliau mengakui bahawa ramai 'orang-orangnya' gagal mendapat tempat dalam pemilihan kongres itu yang berlangsung hari ini.

Syed Shahir berjaya mengekalkan jawatan presiden dengan menewaskan pencabarnya, Mohd Shafie BP Mammal yang sebelum ini merupakan timbalan presiden MTUC.

Syed Shahir mendapat 278 undi untuk menewaskan pencabarnya Mohd Shafie BP Mammal dengan majoriti 43 undi.

Beliau menegaskan demikian ketika ditemui di luar Dewan Sivik MPPJ - tempat persidangan MTUC kali ini - selepas pengerusi persidangan kali ini, J Ganesan Murty, mengumum keputusan pemilihan kali ini pada kira-kira jam 7.25 malam.

Namun begitu, sebahagian besar jawatan penting MTUC kali ini dimenangi oleh calon-calon dari kumpulan Mohd Shafie yang turut bergabung dengan Setiausaha Agung MUTC, G Rajasekaran.

Pentingkan pekerja

Rajasekaran pula berjaya mengekalkan jawatan setiausaha agung dengan majoriti tipis empat undi sahaja, untuk menewaskan pencabarnya Abdullah Sani Abdul Hamid.

Bagaimanapun, Syed Shahir meminta semua pihak supaya bersatu dan terus bekerja untuk kepentingan golongan pekerja.

Menurut senarai pemenang kali ini, 12 daripada 15 calon yang terpilih memegang jawatan penting MTUC kali ini merupakan dari kumpulan pencabarnya, Mohd Shafie yang bekerjasama dengan kumpulan Rajasekaran.

Calon-calon dari kumpulan Syed Shahir yang tewas kali ini ialah calon jawatan timbalan presiden, Abdullah Sani Abdul Hamid bagi jawatan setiausaha agung, J Solomon (jawatan timbalan setiausaha) dan juga P Maniam (jawatan timbalan presiden).

Syed Shahir menghadapi saingan hebat kali ini berikutan wujudnya pihak dalam MTUC yang tidak sehaluan dengan cara kepimpinan beliau yang dikatakan keras sentiasa mengambil pendekatan keras terhadap kerajaan, dalam memperjuangkan isu gaji minima dan pemberian COLA pada kakitangan swasta.

MTUC di bawah kepimpinan beliau juga juga didakwa lebih cenderung kepada pembangkang dalam memperjuangkan isu-isu pekerja.