Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH tak jangka sokongan pengundi Cina merosot
Diterbitkan:  Nov 30, 2025 7:45 AM
Dikemaskini: 11:45 PM

PRN SABAH | PH tidak menjangka kehilangan sokongan besar daripada pengundi tegar kaum Cina kali ini sekali gus menjadi isyarat penting kepada gabungan politik berkenaan menilai semula strategi menjelang PRU ke-16.

Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud berkata prestasi semasa PH – khususnya melibatkan perubahan pola sokongan pengundi Cina – menuntut analisis menyeluruh bagi memahami puncanya.

“Ya, kami pun sebenarnya tidak menjangka yang kami kehilangan (sokongan yang) substantial, agak besar pengundi-pengundi tegar kita dalam kalangan pengundi Cina.

“Jadi, selepas ini kami kena buat post-mortem (pascanilai) apa sebenarnya yang berlaku dan bagi saya, ini adalah wake-up call kepada PH, khususnya PKR, untuk menilai semula strategi kita,” katanya kepada pemberita di kediaman ketua menteri di Sri Gaya, Kota Kinabalu hari ini.

Mustapha berkata pengajaran yang diterima melalui keputusan kali ini memberi ruang kepada PH untuk memperkemas pendekatan dan strategi lebih awal sebelum menghadapi PRU ke-16.

“Untuk persediaan PRU ke-16, saya fikir ini bagus juga kita dapat kesan lebih awal masalah-masalah ini supaya kita boleh merangka strategi untuk kita memenangi semula pengundi-pengundi tegar kita untuk kembali menyokong PH,” katanya.

Mustapha turut mengesahkan kehadirannya di lokasi itu hari ini adalah selari dengan pendirian rasmi PKR seperti yang telah diumumkan oleh setiausaha agung parti berhubung pembentukan kerajaan negeri.

“Kita bersedia untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang bakal dibentuk tidak lama lagi dan menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai bakal Ketua Menteri kita, insya-Allah,” katanya.

Dalam PRN kali ini DAP Sabah gagal meraih sebarang kerusi daripada semua lapan kawasan yang ditandingi parti itu, manakala PKR hanya menang satu daripada 13 kerusi yang ditandingi.

Satu lagi parti komponen PH – Amanah – juga gagal memenangi satu-satunya kerusi yang ditandingi iaitu kerusi Sulabayan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS