Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Presiden parti antara calon hilang deposit kali ini
Diterbitkan:  Nov 30, 2025 9:26 AM
Dikemaskini: 1:26 AM

PRN SABAH | Presiden Parti Impian Sabah (PIS) Michel Alok @ Ilok adalah antara 389 calon Dewan Undang Negeri (DUN) Sabah yang hilang deposit selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira.

Michel yang bertanding di DUN Telupid berputih mata selepas memperoleh hanya 291 undi, sekali gus tewas kepada penyandang Jonnybone Kurum dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mendapat 3,868 undi dalam saingan sembilan penjuru.

Dalam saingan 10 penjuru di DUN Sebatik, Presiden Parti Rumpun Sabah (Rumpun) Ismail Idris turut hilang wang deposit selepas cuma memperoleh 41 undi. Dia kecundang kepada calon Warisan, Manahing Tinggilani @ Tanggilani yang mendapat 2,795 undi.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi yang bertanding atas tiket bebas di DUN Segama juga terpaksa akur dengan kehilangan deposit selepas mendapat hanya 1,644 undi dan tewas kepada calon Muhammad Abdul Karim (Warisan) yang menang dengan 7,325 undi.

Mengikut pecahan parti bertanding, PIS merekodkan jumlah kehilangan wang deposit tertinggi dengan 72 calon, diikuti dengan calon bebas (60 orang), manakala Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) dan PN masing-masing dengan 36 calon.

Sementara itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) merekodkan 30 calon hangus wang deposit, Warisan (23), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu – atau – Upko (15), BN (12) dan PH dengan dua calon.

DUN Tulid mencatatkan jumlah calon paling ramai hilang wang deposit, apabila 11 calon daripada 14 calon yang bertanding gagal mendapat undi yang melayakkan mereka mendapat kembali wang tersebut.

PRN Sabah ke-17 mempertandingkan 73 kerusi DUN dengan menyaksikan seramai hampir 600 calon bertanding.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS