Detik konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) tahun ini mencatatkan memori paling istimewa apabila dua beradik, Siti Nur Fatihah Yap dan Siti Nur Atika, muncul sebagai graduan cemerlang dalam bidang masing-masing.
Ia sekali gus meneruskan legasi keluarga yang menjadikan UPM "rumah kedua".
Kejayaan berganda itu lebih menyentuh hati kerana kedua-duanya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal selepas pemergian ayah mereka pada tahun 2012 dan ia menjadi simbol ketabahan keluarga yang terus bangkit walaupun diuji.
Fatihah, graduan Bacelor Sains dan Teknologi Makanan, berkata majlis konvokesyen bukan sekadar acara rasmi, tetapi perayaan terhadap kekuatan keluarga mereka yang sentiasa bersama sepanjang suka dan duka.
“Walaupun saya dan kakak berkonvokesyen pada hari berbeza, keluarga tetap hadir untuk kedua-duanya. Kami membesar bersama, belajar bersama, dan kini berkongsi pentas kejayaan bersama,” katanya.

Dia menambah hampir kesemua adik-beradiknya, termasuk ipar, adalah lepasan UPM dan ada yang masih melanjutkan pengajian di universiti sama.
Bagi Siti Nur Atika, graduan Master Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, kembali ke UPM setelah kali pertama bergraduasi pada 2018 membawa makna yang jauh lebih mendalam.
Minat yang semakin berkembang dalam bidang kesihatan, keselamatan dan alam sekitar mendorongnya menyambung pengajian di peringkat sarjana.
Namun perjalanan Atika tidak mudah apabila dia menyambut kelahiran anak sulung di pertengahan pengajian.
“Mengimbangi pengajian, kerja, tanggungjawab sebagai ibu dan isteri bukan perkara mudah. Saya terpaksa mengurangkan jumlah jam kredit dan memanjangkan tempoh pengajian. Tetapi semuanya berbaloi, dan saya tidak mampu melaluinya tanpa sokongan penuh suami,” katanya.
Atika berharap pencapaiannya membuka laluan kerjaya lebih stabil sambil mengekalkan keseimbangan hidup, terutama sebagai seorang ibu muda.
“Saya mahu memanfaatkan ilmu dan kelayakan ini dalam kerjaya sambil terus menjadi ibu yang hadir untuk anak saya,” katanya.
