Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lapan dari 10 Adun Sabah dikait skandal lombong kekal menang

Keputusan pilihan raya Sabah semalam menyaksikan lapan daripada 10 calon yang dikaitkan dengan skandal rasuah melibatkan ahli perniagaan Albert Tei muncul sebagai pemenang.

Daripada jumlah itu, tujuh daripadanya menyumbang kepada 29 kerusi yang dimenangi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus mengukuhkan kawalan gabungan tersebut di negeri di bawah bayu itu.

Satu lagi kerusi dimenangi Star, bekas komponen GRS manakala hanya dua calon yang disebut oleh Tei gagal mempertahankan kedudukan masing-masing.

Kesemua ahli politik yang dikaitkan — tetapi menafikan sebarang salah laku — adalah seperti berikut:

Menang

Hajiji Noor (GRS–Sulaman)

Ketua menteri dan pengerusi GRS itu mempertahankan kerusi Sulaman untuk penggal kesembilan dengan majoriti 8,919 undi.

Keempat-empat pencabarnya, termasuk calon BN, Warisan dan Perikatan Nasional, hilang deposit.

Jeffrey Kitingan (Star–Tambunan)

Presiden Star dan bekas timbalan ketua menteri I itu berjaya mempertahankan Tambunan dengan 12,595 undi, menewaskan enam pencabar lain dengan majoriti 7,311 undi.

Dr Joachim Gunsalam (GRS–Kundasang)

Pemangku presiden PBS dan bekas timbalan ketua menteri II itu mempertahankan kerusinya dengan 4,640 undi, menang majoriti 1,031 undi menewaskan sembilan calon lain.

Tujuh pencabarnya hilang deposit.

Masidi Manjun (GRS–Karanaan)

Setiausaha agung GRS itu meraih kemenangan selesa dalam pertarungan tujuh penjuru selepas memperoleh 7,081 undi — majoriti 5,361 undi, lebih tinggi berbanding PRN 2020.

Empat lawannya hilang deposit.

Arifin Arif (GRS–Membakut)

Menantu kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman, itu menewaskan sembilan pencabar di Membakut.

Dia menang dengan 5,668 undi dan majoriti 2,017 undi manakala enam lawan hilang deposit.

Rubin Balang (GRS–Kemabong)

Penyandang kerusi Kemabong ini mengekalkan kedudukannya selepas meraih 6,326 undi dan majoriti 2,129 undi, menewaskan lapan calon lain termasuk enam yang hilang deposit.

Arsad Bistari (GRS–Tempasuk)

Adun sepenggal daripada Parti Gagasan Rakyat itu berjaya mempertahankan kerusi selepas memperoleh 4,914 undi — majoriti 1,821 undi.

Empat daripada enam lawannya hilang deposit.

Masiung Banah (GRS–Kuamut)

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah itu mempertahankan kerusi Kuamut untuk penggal kelima.

dia mendapat 4,980 undi dan menang dengan majoriti 457 undi, menewaskan tujuh calon lain termasuk lima yang hilang deposit.

Tewas

Ellron Angin (GRS–Sook)

Selepas empat penggal memegang kerusi Sook sejak 2008, Ellron gagal mempertahankannya.

Dia — yang keluar Star untuk menyokong GRS selepas parti itu meninggalkan gabungan bulan lalu — tewas kepada presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup.

Arthur, calon BN yang juga timbalan menteri pertanian dan keselamatan makanan, memperoleh 8,307 undi dan menang dengan majoriti selesa 4,727 undi berbanding 3,580 undi Ellron.

Robert Tawik (GRS–Bingkor)

Seorang lagi bekas timbalan presiden Star, Robert turut kecundang.

Dia memperoleh 3,919 undi tetapi tewas kepada calon Star, Mohd Ishak Ayub, yang menang dengan majoriti 5,427 undi.

Sama seperti Ellron, dia juga berpaling tadah selepas Star meninggalkan GRS bulan lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS