PRN SABAH | Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) melalui ketiga-tiga calon yang menang semalam menyokong Hajiji Noor menjadi Ketua Menteri Sabah.
Presiden Upko, Ewon Benedick, berkata dia sendiri hadir ke upacara angkat sumpah jawatan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah ke-17 di Istana Seri Kinabalu awal pagi tadi.
"Saya dan wakil-wakil rakyat Upko menyatakan kepada Hajiji bahawa beliau boleh menubuhkan kerajaan Sabah yang terdiri daripada parti-parti lokal sepenuhnya.
"Selebihnya dan sudah tentunya, Datuk Seri Panglima Hajiji lebih bijaksana dalam menentukan kabinet Sabah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRN semalam, selain Ewon yang mempertahankan kerusi DUN Kadamaian, Wilfred Madius Tangau menang di Tamparuli dan Donald Peter Mojuntin di Moyog.
Ewon berkata Upko mendukung kepimpinan Hajiji sebagai ketua menteri berdasarkan kepada pengukuhan nilai dan tadbir urus terpuji.
"Upko menggesa rakyat Sabah kembali bersatu bagi membangun dan memajukan rakyat negeri ini serta mendapatkan kembali hak-haknya," kata Ewon.
Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN Sabah ke-17.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 daripada diikuti Warisan (25), BN (6), bebas (5), Upko (3), Parti Solidariti Tanah Airku (2) manakala PN, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan PH masing-masing menang satu kerusi.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
- Bernama
