Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Star sokong Hajiji demi kestabilan - Jeffrey
Diterbitkan:  Nov 30, 2025 3:27 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menyokong Hajiji Noor susulan pelantikannya semula sebagai ketua menteri Sabah.

Presidennya, Jeffrey Kitingan menegaskan keputusan pilihan raya mesti dihormati dan Sabah kini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil.

Katanya keputusan undi itu mencerminkan “suara dan aspirasi rakyat Sabah” dan Star menerima pilihan yang dibuat pengundi.

"Star komited untuk terus menyokong ketua menteri dan menyumbang secara konstruktif kepada agenda kerajaan untuk kemajuan dan kestabilan.

“Sabah layak mempunyai kerajaan yang bekerja bersama-sama, terutamanya dalam hal hak perlembagaan dan kedaulatan jangka panjang,” katanya pada kenyataan dari Kota Kinabalu.

Star sebelum ini merupakan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi bertindak keluar hanya beberapa hari sebelum Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan pada 6 Oktober, berikutan ketidaksetujuan terhadap kerjasama GRS dengan Pakatan Harapan – yang kini turut menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

Pada pilihan raya pada Sabtu, Star bertanding menggunakan logonya sendiri.

Parti itu menang dua kerusi, iaitu Tambunan dan Bingkor. Jumlah ini merosot berbanding enam kerusi yang dimenanginya pada 2020.

Jeffrey merakamkan penghargaan kepada para penyokong di seluruh negeri, khususnya pengundi di dua kawasan yang mengekalkan calon Star di dewan undangan negeri.

“Kepercayaan diberikan mengukuhkan lagi iltizam kami untuk terus berkhidmat kepada Sabah dengan penuh integriti dan kesungguhan,” katanya lagi.

Menurutnya, Star akan bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan pimpinan Hajiji untuk mencapai pembangunan, kestabilan dan kemajuan jangka panjang, sambil menekankan kepentingan kerjasama dalam hal perlembagaan serta autonomi politik Sabah.

Mempertegas pendirian Star, Jeffrey berkata parti itu kekal komited terhadap tuntutan hak 40 peratus hasil negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, menyifatkannya sebagai teras kedaulatan jangka panjang Sabah.

“Oleh kerana perundingan ini hanya boleh dijalankan antara kerajaan ke kerajaan, mustahak Sabah mempunyai suara kukuh dan berpegang kepada prinsip terlibat dalam proses itu.

“Perjuangan ini sentiasa menjadi inti kepada Star dan kami bersedia menyokong sebarang usaha ikhlas dan berani memastikan apa yang sepatutnya menjadi hak Sabah,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu akan kekal sebagai pembangkang di Sabah.

PN meraih satu kerusi semalam, iaitu Karambunai – yang turut menjadi kemenangan bersejarah kerusi pertama PAS di Sabah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS