Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian Syamsul Haris diklasifikasi kes bunuh - AGC
Diterbitkan:  Dec 2, 2025 6:38 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsuddin diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ia selepas jabatan itu mendengar taklimat hasil laporan siasatan yang dibuka oleh pihak polis ke atas kematian Syamsul.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan membabitkan siasatan berkaitan dengan jenayah membunuh.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan penemuan forensik daripada bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat Syamsul Haris, mengesahkan kecederaan leher traumatik sebagai punca kematiannya.

Peguam keluarganya, Naran Singh berkata laporan menunjukkan kecederaan itu dialami ketika Syamsul (gambar atas) masih hidup.

Dia berkata pemeriksaan bedah siasat kedua dijalankan bersama-sama gambar dan bahan histopatologi daripada pemeriksaan bedah siasat pertama.

Berikutan penemuan ini, dia menggesa peguam negara (AG) untuk mengambil langkah seterusnya bagi mengenal pasti pihak yang menyebabkan kecederaan itu kepada Syamsul dan membawanya ke mahkamah untuk menghadapi perbicaraan.

Syamsul, 22, meninggal dunia semasa latihan Palapes di Ulu Tiram, Johor. Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, berkata bahawa dia dimaklumkan tentang kematian anaknya pada 28 Julai.

Pada 1 Ogos, Ummu memberitahu sidang akhbar bahawa dia mengesyaki terdapat unsur jenayah dalam kematian anaknya selepas melihat lebam dan mata berdarah pada mayat Shamsul sebelum dikebumikan.

Ummu kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Ogos, meminta penggalian mayat Syamsul, bedah siasat kedua, dan inkues kematiannya, yang dibenarkan oleh hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet pada 26 Ogos, yang menyebabkan mayat Syamsul digali tiga hari kemudian.

Bedah siasat kedua dijalankan serta-merta.

Unit Siasatan Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengesahkan pada 26 Ogos bahawa mereka mengambil alih siasatan terhadap kematian Syamsul.

Pada 18 September, Peguam Negara Dusuki Mokhtar berkata sebarang keputusan sama ada inkues akan diadakan terhadap kematian Syamsul akan dibuat selepas menerima laporan penuh daripada polis, termasuk laporan hospital mengenai bedah siasat kedua, yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Pada 30 Oktober, Ummu memfailkan satu lagi tindakan undang-undang terhadap kerajaan, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan empat yang lain dalam usaha untuk mendapatkan salinan laporan bedah siasat pertama.

Sementara itu, dalam kenyataan petang ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar berkata siasatan kes berkenaan akan diteruskan untuk mengenal pasti individu-individu yang terlibat atau bertanggungjawab ke atas kematian tersebut sebelum kertas siasatan dirujuk semula ke AGC untuk arahan selari dengan peruntukan perkara 145 perlembagaan persekutuan.

"Masyarakat diingatkan agar tidak membuat apa-apa spekulasi terhadap kes ini sementara PDRM melengkapkan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS