Seorang wanita berusia 26 tahun mendakwa menjadi mangsa provokasi dan serangan seorang penunggang motosikal warga Singapura dalam satu insiden membabitkan keganasan jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang di Johor semalam.
Mangsa, Aeyin, yang bekerja dalam bidang e-dagang, berkata kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi ketika dia dan seorang kawan lelaki, Nazs, 30, sedang memandu menuju ke Taman Bukit Indah.
Menurutnya, selepas keluar dari Tol Perling, Nazs menyalakan lampu isyarat dan memeriksa cermin sisi sebelum memasuki lorong kiri.
Menurutnya, ketika itu, seorang penunggang motosikal berada kira-kira 30 meter di belakang keretanya.
“Kami masuk perlahan-lahan dan mengikut aliran trafik, tetapi tiba-tiba dia memecut seperti tidak mahu beri laluan. Dia hon berkali-kali dan bawa motor secara agresif,” kata Aeyin.
Aeyin juga mendakwa lelaki itu turut menunjukkan isyarat lucah dan ketawa secara mengejek sambil cuba menghalang keretanya bergerak.

Situasi itu bertambah tegang apabila penunggang motosikal itu dikatakan menghentak cermin sisi kiri kereta sebelum berhenti di bawah jejantas.
Pada mulanya, Aeyin menyangka kasut lelaki itu tercicir, namun dia kemudian menyedari suspek berhenti untuk mengambil seketul batu.
“Dia mengambil satu batu di tepi jalan yang agak besar dan boleh mencederakan orang, pada awalnya saya tidak berfikir banyak.
“Tapi dia kejar semula dan cuba baling batu ke arah tingkap penumpang. Kawan saya terus pecut elak dia,” jelasnya kepada Malaysiakini.

Namun, kereta yang dinaiki mereka terpaksa berhenti apabila lampu isyarat merah. Pada ketika itu, suspek berjaya mengejar dan melemparkan batu tersebut ke arah kereta mereka.
“Bunyi retakan cermin besar belakang kereta saya amat kuat, apabila saya toleh belakang, tempat duduk belakang kereta saya ada batu besar dan serpihan kaca,” ceritanya.
Aeyin dan kawannya kemudian mengekori lelaki itu dari jarak selamat sehingga berjaya merakam nombor pendaftaran motosikal serta wajahnya sebagai bukti.
Lelaki itu dipercayai dalam lingkungan umur 45 hingga 50an, dan mempunyai plat nombor Singapura.

Kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya mengalami kerosakan pada cermin besar belakang dan sisi, dengan anggaran kos pembaikan sekurang-kurangnya RM700.
Aeyin dan kawannya Nazs telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Perling, Johor Bahru semalam dan telah menyerahkan bahan bukti kepada pihak polis.
“Hari ini pada jam 1.15 tengah hari, kami dah serahkan salinan Sijil Pendaftaran Kenderaan dan juga telefon mengandungi bukti kejadian. Kami tunggu perkembangan lanjut,” katanya.
