Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Bung Moktar Radin sebagai kehilangan seorang sahabat sejati yang amat dekat di hatinya.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Presiden Umno itu berkata Allahyarham merupakan rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi serta insan yang setia menemani dalam setiap waktu senang dan susah.
“Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata seluruh saf kepimpinan Umno, BN dan rakyat khususnya di Sabah berdoa agar roh Allahyarham Bung Moktar dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan dan ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman serta beramal soleh.
Dia yang juga Pengerusi BN turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Bung Moktar.
“Semoga kalian semua dikurniakan ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam melalui saat yang amat berat ini,” katanya.
Bung Moktar, 66, yang merupakan Pengerusi BN Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan, menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada jam 1.46 pagi tadi.
- Bernama
