Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM lancar Sahabat Penggerak Madani, skim insurans rakyat
Diterbitkan:  Dec 7, 2025 12:50 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan dua inisiatif di bawah agenda pembangunan rakyat iaitu program Sahabat Penggerak Madani dan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0.

Kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta memperkasakan komuniti di peringkat akar umbi.

Pelancaran itu diadakan bersempena dengan Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku serta Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini.

Dua inisiatif tersebut menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan berasaskan nilai Madani dan sistem perlindungan sosial yang inklusif.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, bersama barisan anggota kabinet, ketua jabatan serta pegawai kanan perkhidmatan awam.

Antara yang hadir ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, dan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Turut sama Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Majlis pelancaran itu menjadi kemuncak program Rancakkan Madani dengan pelbagai pengisian termasuk pameran interaktif, sesi perkongsian dan forum pembaharuan sistem penyampaian awam.

Sahabat Penggerak Madani merupakan individu yang dilatih Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) untuk menjadi ejen penyebar kesedaran dan pemahaman tentang kenegaraan, kepimpinan serta dasar-dasar kerajaan semasa di peringkat akar umbi.

SIKR pula satu inisiatif kerajaan memastikan golongan miskin dan miskin tegar eKasih mendapat perlindungan insurans.

Selepas pelancaran kedua-dua inisiatif berkenaan, Anwar mengadakan tinjauan mesra bersama peserta dan pengunjung di sekitar ruang pameran sebelum beredar meninggalkan dewan utama.

Program Rancakkan Madani ialah kesinambungan program Setahun Bersama Kerajaan Madani dan Program Dua Tahun Kerajaan Madani yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Serentak dengan program itu, berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang menghimpunkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam serta pemain industri.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) itu telah menarik 304,107 pengunjung setakat dua hari penganjuran program, melebihi sasaran 300,000 pengunjung.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS