Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah Raya dilantik pemegang wang amanah Pastor Koh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan wang ganti rugi berjumlah lebih RM31 juta yang diterima oleh pastor Raymond Koh didepositkan ke dalam akaun Amanah Raya Berhad sebagai pemegang amanah.

Peguam Jerald Gomez, yang mewakili isteri Koh iaitu Susanna Liew Sow Yoke, berkata hakim Su Tiang Joo membuat keputusan itu selepas perkara tersebut dipersetujui oleh pihaknya bersama Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid yang mewakili kerajaan dan Polis Diraja Malaysia.

“Amanah Raya Berhad dilantik sebagai pemegang amanah bagi Koh untuk memegang wang dan faedah sehingga keberadaannya dapat dikenal pasti atau didedahkan,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah berakhir.

Dia berkata Amanah Raya Berhad dipilih kerana caj pengurusannya yang rendah dan jaminan untuk memulangkan wang itu kepada kerajaan jika keputusan mahkamah berubah di peringkat rayuan.

Pada 5 Nov lepas, Su mengarahkan kerajaan agar mendepositkan wang itu ke dalam akaun pemegang amanah sehingga keberadaan Koh dikenal pasti atau didedahkan.

Wang itu membabitkan ganti rugi am sebanyak RM10,000 sehari mulai 13 Feb 2017 hingga status keberadaan Koh didedahkan, ganti rugi RM1 juta dan ganti rugi teladan RM1 juta.

Pada 28 Nov lepas, Liew memohon agar firma guaman yang mewakilinya iaitu Tetuan Jerald Gomez & Associates dilantik sebagai pemegang amanah.

Dia turut mencadangkan dua institusi kewangan iaitu PB Trustee Services Berhad dan Amanah Raya Berhad sebagai alternatif jika mahkamah tidak melantik firma guaman berkenaan.

Liew memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan suaminya serta cara pihak berkuasa menyiasat kes itu.

Koh dilaporkan diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya dekat sini pada 13 Feb 2017.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS