Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini mengadakan mesyuarat khas di Putrajaya untuk meneliti dapatan awal analisis keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berkata turut dibincangkan ialah isu yang berkait dengan prestasi kerusi yang ditandingi PKR dan Pakatan Harapan.
"Proses mengumpul pandangan dan dapatan akan diteruskan untuk tindakan susulan diteliti pada mesyuarat MPP akan datang," katanya dalam kenyataan pascamesyuarat khas itu, malam ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata mesyuarat MPP turut menerima taklimat ringkas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR berhubung beberapa tindakan ekonomi terkini termasuk kenaikan had ambang e-invois dan lebihan cukai yang perlu dibayar balik lebih pantas.
Mesyuarat khas berkenaan bermula kira-kira 5 petang tadi dan berakhir dua jam kemudian.
Antara yang dilihat hadir termasuklah Fahmi, Naib Presiden PKR yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan serta Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta ahli MPP Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
- Bernama
