Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah pada 16 Dis ini.
Setiausaha SPR Khairul Shahril Idrus berkata suruhanjaya itu menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya berhubung kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin pada 5 Dis lepas.
“Selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Sabah yang memperuntukkan bahawa kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N58 Lamag, Sabah, hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan SPR.
“Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Shahril menambah, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu berakhir.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital di Sabah pada jam 1.46 pagi 5 Dis lalu, kurang seminggu selepas dipilih sebagai Adun Lamag untuk penggal kedua.
Dalam PRN ke-17 Sabah yang diadakan pada 29 Nov lalu Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Di peringkat politik nasional, Bung Moktar memulakan kerjaya sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selepas memenangi kerusi tersebut semasa PRU ke-10 pada Nov 1999 dan terus berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.
Terdahulu, Johari dalam kenyataan hari ini memaklumkan dia telah mengemukakan pemberitahuan kepada SPR berhubung pemergian Allahyarham.
“Bagi pihak Parlimen Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh di sisi Allah SWT,” katanya.
- Bernama
