Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fuziah jawab Loke: Sokongan kepada Hajiji kekal, PRN tak ubah pendirian PH

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh mempertahankan tindakannya mengumumkan bahawa Pakatan Harapan (PH) bersama sekutunya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memiliki jumlah cukup kerusi untuk membentuk kerajaan negeri Sabah pada malam 29 Nov lalu.

Ini susulan laporan bahawa Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengkritiknya kerana membuat pengumuman itu secara unilateral dan sebelum keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.

Fuziah menegaskan PH konsisten menyokong kepimpinan Pengerusi GRS Hajiji Noor, dan pendirian itu tidak berubah meskipun selepas keputusan pilihan raya negeri.

“PH kekal konsisten menyokong Hajiji sejak hari pertama.

“Keputusan pilihan raya Sabah tidak mengubah pendirian PH menyokong kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Madani persekutuan,” katanya dalam mesej teks.

Malaysiakini menghubungi Fuziah — yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup — bagi mendapatkan responsnya terhadap kritikan Loke dalam satu temu bual di saluran YouTube berbahasa Cina, The Keywords.

Dalam temu bual itu, Loke menyelar tindakan Fuziah, menyifatkannya sebagai langkah yang mengundang sindiran terhadap PH.

“Pengumuman itu tidak sepatutnya dibuat. Ia mengundang bahan lawak. Pertama, kamu hanya ada satu kerusi. Apa yang kamu cakap mahu membentuk kerajaan negeri?

“Selain itu, pembentukan kerajaan sepatutnya diumumkan parti terbesar, iaitu GRS,” kata Ahli Parlimen Seremban itu, sambil menegaskan bahawa Hajiji sepatutnya menjadi pihak yang membuat pengumuman tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS