Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan ejen pemungut bukan penswastaan perkhidmatan JPJ
Diterbitkan:  Dec 9, 2025 8:47 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

Pelantikan ejen pemungut oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan penswastaan perkhidmatan agensi terbabit sebaliknya membenarkan perkhidmatan ditawarkan menerusi saluran tambahan.

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata pelantikan ejen pemungut dilaksanakan sejak 2016 dan setakat ini sebanyak 10 ejen telah dilantik.

“Ejen pemungut tidak mempunyai sebarang peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi, iaitu aplikasi MyJPJ, MySikap dan pejabat JPJ yang sedang dan akan terus dikendalikan jabatan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Sebagai contoh, menurut Aedy Fadly, apabila sesebuah platform insurans kenderaan dilantik sebagai ejen pemungut JPJ, ia membolehkan platform berkenaan turut menawarkan pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) apabila pelanggan membeli insurans kenderaan.

Dia menjelaskan pengguna masih mempunyai pilihan untuk memperbaharui LKM masing-masing secara berasingan dan secara langsung dengan JPJ melalui aplikasi MyJPJ, MySikap atau di pejabat JPJ.

“Antara syarikat telah dilantik sebagai ejen pemungut sebelum ini termasuk Pos Malaysia Bhd, Puspakom Sdn Bhd, MyEG Services Sdn Bhd, Konsortium Multimedia Swasta Sdn Bhd, TCSENS Sdn Bhd, serta TNG Sdn Bhd,” katanya.

Aedy Fadly berkata pelantikan ejen pemungut tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan dan mana-mana syarikat berkelayakan serta ingin menawarkan nilai tambah melalui perkhidmatan JPJ boleh membuat permohonan kepada mereka.

“Semua permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur selaras dengan kelulusan oleh Kementerian Kewangan (MOF) seperti yang telah dilaksanakan sekian lama,” katanya.

Tambah Aedy Fadly, JPJ kekal komited memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan mudah diakses oleh orang ramai melalui pengawalseliaan berterusan ke atas semua ejen pemungut dilantik.

“JPJ juga akan terus memastikan integriti data, keselamatan transaksi serta tahap pengalaman pengguna berada pada tahap optimum selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan digital sektor awam,” katanya.

Semalam, Ramssol Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Rider Gate Sdn Bhd, memaklumkan syarikat terbabit dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh JPJ.

Syarikat itu memaklumkan, melalui portal aplikasi Rider Gate, rakyat Malaysia boleh mengakses platform perkhidmatan yang digital sepenuhnya, mudah dan selamat untuk transaksi penting JPJ termasuk pembaharuan LKM, pembayaran saman trafik dan pindah hak milik kenderaan dengan caj nominal bagi setiap transaksi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS