Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengawal keselamatan didenda RM40,000 kerana liwat kucing
Diterbitkan:  Dec 10, 2025 12:30 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Seorang pengawal keselamatan warga asing didenda RM40,000 atas kesalahan meliwat seekor kucing.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Nor Hasniah Ab Razak menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Arman Shah, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mendera kucing dengan kejam.

Mahkamah turut memerintahkan penjara 15 bulan kepada tertuduh jika gagal membayar denda.

Lelaki bujang itu dituduh dengan kejam mendera seekor kucing di tingkat empat sebuah blok pangsapuri di Kota Kemuning, Seksyen 31 pada pukul 12.30 tengah malam, 15 November lalu.

Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, seorang wanita yang baru tiba di kawasan parkir dan berada dalam kereta melihat tertuduh memasukkan kemaluan ke dalam tubuh kucing itu.

Selepas ditegur oleh suami pengadu, tertuduh memakai semula seluar, mencampak kucing dan masuk ke dalam rumah sewa.

Pengadu yang berada dalam kereta merakam video sepanjang 48 saat yang memaparkan tertuduh memegang kucing dan mencampak haiwan itu.

Siasatan mendapati kucing itu telah tiada, dipercayai masih hidup dan beredar.

Rampasan pakaian tertuduh mendapati ada bulu kucing.

Sementara itu, Arman yang tidak diwakili peguam merayu supaya denda dikurangkan kerana dia mahu pulang ke Nepal kerana ibunya sakit.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal bagaimanapun menyifatkan kelakuan tertuduh sebagai keterlaluan, kejam dan tidak patut dinormalisasikan.

"Kes ini telah mendapat perhatian umum sehingga menimbulkan kemarahan dan kegusaran orang awam.

"Mohon hukuman berat sebagai pengajaran bukan hanya kepada tertuduh malah orang awam," katanya.

Arman juga sedang menjalani hukuman penjara empat bulan atas kesalahan berpakaian separuh bogel dan memasuki negara secara haram.

Bulan lalu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan yang mabuk meliwat kucing dan mencampaknya dari tingkat empat sebuah rumah pangsa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS