Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PN memutuskan untuk tidak akan meletak calon bagi pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah.

Timbalan Pengerusi PN, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat pimpinan tertinggi PN malam tadi yang berlangsung di ibu negara.

"Perkara ini kita sudah bincang semalam (malam tadi) dan kita dah ambil keputusan untuk tidak menghantar calon bagi maksud PRK berkenaan.

"Bagaimanapun, PN akan terus memantau perkembangan PRK dan calon yang akan bertanding dalam PRK itu," katanya ketika sidang media selepas perbahasan Belanjawan Pahang 2026 di Kuantan, Pahang, hari ini.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan mereka akan mengadakan mesyuarat khas bagi mengurusan PRK Kinabatangan dan DUN Lamag pada 16 Dis ini.

Setiausaha SPR Khairul Shahril Idrus berkata suruhanjaya itu menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya berhubung kekosongan luar jangka bagi kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin pada 5 Dis lalu.

Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital di Sabah pada jam 1.46 pagi 5 Dis lalu, kurang seminggu selepas dipilih sebagai Adun Lamag untuk penggal kedua.

Dalam PRN ke-17 Sabah yang diadakan pada 29 Nov lalu Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi di DUN Karambunai kerana memilih calon daripada parti mereka dalam PRN Ke-17.

"Ia membuktikan penerimaan rakyat Sabah kepada prinsip perjuangan dibawa PAS dan PN," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS