Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemalangan maut di kampus: UMK tambah baik kemudahan keselamatan

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan menambah baik kemudahan keselamatan di semua kampusnya, iaitu di Kota Bharu, Jeli dan Bachok bagi mengelakkan kejadian tidak diingini membabitkan pelajar daripada berulang.

Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan dan beberapa langkah penambahbaikan telah dikenal pasti.

“Berikutan kes luar jangka ini, UMK mengadakan mesyuarat khas dan mengenal pasti beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan, antaranya menambah baik pencahayaan dalam kampus, memasang lebih banyak papan tanda amaran serta melakukan pemantauan berkala.

“Kami juga mengeluarkan notis kepada semua pelajar bagi meningkatkan kesedaran dan menjaga keselamatan diri masing-masing,” katanya selepas menyerahkan kurniaan peribadi Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra selaku Pro Canselor UMK kepada keluarga arwah Muhammad Amidee Abdullah di Kampung Chawas di Tanah Merah, hari ini.

Beliau berkata UMK turut menguruskan tuntutan insurans pelajar berkenaan, yang akan diserahkan kepada waris dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD) UMK maut manakala rakannya cedera selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik di Kampus UMK Jeli kira-kira 6.20 petang.

Mangsa, Muhammad Amidee Abdullah, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri.

Sementara itu, Arham berkata UMK merekodkan kerugian sebanyak RM2 juta akibat banjir gelombang pertama akhir bulan lepas yang menyebabkan kerosakan di Kampus Kota Pengkalan Chepa.

“Kampus Kota dinaiki air sedalam 0.6 meter sehingga menjejaskan beberapa kelas, peralatan, perabot dan buku. UMK menggunakan dana dalaman bagi kerja pembaikan dan sedang mendapatkan bantuan peruntukan daripada kementerian dan Agensi Pengurusan Bencana Negara,” katanya.

Beliau berkata pihak Jabatan Kerja Raya turut memasang satu lagi pam penyedut di Kampus Kota, menjadikan lima pam beroperasi setakat ini sebagai persediaan menghadapi gelombang banjir seterusnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS