Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Iceland tarik diri Eurovision 2026, protes penyertaan Israel

Iceland semalam mengumumkan negara itu akan memboikot Pertandingan Lagu Eurovision 2026, menyertai Sepanyol, Ireland, Slovenia dan Belanda sebagai protes terhadap keputusan membenarkan penyertaan Israel, lapor Anadolu Ajansi.

“Melihat kepada perdebatan awam di negara ini dan reaksi terhadap keputusan Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) minggu lalu, jelas bahawa tidak akan wujud rasa kegembiraan atau keamanan berhubung penyertaan RUV dalam Eurovision.

“Oleh itu, RUV memutuskan untuk memaklumkan kepada EBU hari ini bahawa RUV tidak akan mengambil bahagian dalam Eurovision tahun depan.

“Pertandingan Lagu dan Eurovision sentiasa bertujuan menyatukan rakyat Iceland, tetapi kini jelas matlamat itu tidak dapat dicapai dan atas alasan berkait program, keputusan ini diambil,” menurut penyiar nasional Iceland itu dalam satu kenyataan.

Sebelum mesyuarat RUV, sekumpulan penunjuk perasaan pro-Palestin mengadakan perhimpunan solidariti di luar ibu pejabat penyiar itu.

EBU, selaku penganjur acara itu, pada awal Disember mengumumkan bahawa Israel dibenarkan mengambil bahagian dalam pertandingan tahun depan, sambil menjelaskan bahawa para ahli memutuskan untuk tidak mengadakan undian khusus mengenai penyertaan Israel walaupun terdapat permintaan daripada beberapa penyiar.

Slovenia, Sepanyol, Belanda dan Ireland turut mengumumkan mereka tidak akan menyertai pertandingan berkenaan, merujuk kepada penglibatan Israel dan situasi di Gaza yang telah meragut lebih 70,000 nyawa dalam tempoh dua tahun perang.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS