Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Erra Fazira sah bergelar isteri Ezwan Zain
Diterbitkan:  Dec 12, 2025 10:53 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Pelakon, penyanyi dan hos terkenal, Erra Fazira, selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya Ezwan Zain atau "Mr E", tepat pada 9.19 pagi tadi di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, dekat sini.

Selepas hampir 11 tahun hidup bersendirian dan bergelar ibu tunggal, Erra kini menemui lelaki istimewa yang akan menjadi peneman setia dalam meniti kehidupan bersama.

Dengan hanya sekali lafaz, Ezwan, 44, yang merupakan seorang ahli perniagaan, sah bergelar suami kepada Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, primadona filem Melayu kesayangan rakyat Malaysia.

Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah, Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor Mohd Sabirin Noordin.

Erra menerima mas kahwin sepokok ufti bunga emas seberat 102 gram berserta set barang kemas, tas tangan, jam tangan serta kasut yang diletak di atas talam sebagai hantaran perkahwinan.

Majlis pernikahan itu akan disusuli dengan acara persandingan untuk ahli keluarga pada esok, manakala majlis resepsi membabitkan kenalan pada 27 Dis ini.

Perkahwinan bersama Ezwan adalah yang ketiga buat Erra.

Sebelum ini, ikatan perkahwinan yang dibina bersama dengan pelakon dan vokalis KRU Datuk Yusry Abdul Halim terlerai apabila kedua-duanya rasmi berpisah pada 2006.

Erra kemudian mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Engku Emran Engku Zainal Abidin dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Engku Aleesya, 16, sebelum bercerai pada 2014.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS