Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mendermakan RM120,000 kepada Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq, atau Medina, dua tahun, yang sejak lahir menghidap penyakit hati serius, biliary atresia.
Sumbangan itu melengkapkan jumlah RM180,000 yang diperlukan bagi pembedahan kecemasan di sebuah hospital di Shanghai, China.
Menurut bapa Medina, Ikmal Haziq Mazlan, 24, dana tersebut datang daripada simpanan haji Akmal dan isterinya, yang sepatutnya digunakan untuk menunaikan ibadah itu tahun depan.
Katanya, sebelum itu keluarganya sudah buntu kerana kempen kutipan derma yang dilancarkan bulan lalu hanya berjaya mengumpul RM62,000.
"Dr Muhammad Akmal telah datang berziarah pada Rabu lepas, dan beliau ada bertanyakan jumlah kos yang masih belum mencukupi, tanpa berfikir panjang beliau menyatakan hasrat untuk membantu keluarga kami.
"Antara ayat beliau yang saya tidak akan lupakan ialah, jika wang RM120,000 itu beliau simpan bertahun-tahun untuk menunaikan haji bersama dengan isteri, apalah erti ibadahnya itu jika membiarkan nyawa anak kecil yang sedang bertarung," katanya yang dipetik oleh Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Serkam Tengah, di Melaka hari ini.
Ikmal berkata kemurahan hati Akmal memberi sinar baharu untuk Medina terus berjuang dan membolehkan dia membesar seperti kanak-kanak lain, selain memberikan kekuatan baharu kepada keluarga mereka.
Dia turut berterima kasih kepada Adun Duyong, Noor Helmy Abdul Halem, yang membantu meuar-uarkan usaha mengumpul dana kos pembedahan terbabit ketika mereka buntu kerana baki dana belum mencukupi.
Dalam pada itu, Ikmal berkata pada Januari lepas, mereka pernah mengalami detik mencemaskan apabila jantung Medina terhenti kira-kira 45 minit dan segera dibawa menaiki ambulans untuk mendapat rawatan di Hospital Melaka.
"Ketika tiba di wad kecemasan, keajaiban Allah benar-benar berlaku apabila Medina tiba-tiba membuka matanya … bantuan yang diterima hari ini telah memberikan satu lagi harapan baharu untuk melihat Medina terus berjuang melawan sakitnya kerana saya dan isteri tidak sanggup lagi melihatnya menanggung kesakitan," katanya.
Ikmal berkata segala persediaan untuk ke China telah dilakukan dengan bantuan Biliary Atresia Malaysia Association (BAMA) dan dijangka mereka berangkat pada minggu depan.
Dia turut mendoakan semua prosedur Medina dipermudahkan dan anak itu diberikan kesihatan baik seperti kanak-kanak lain.
Keluarga Medina bagaimanapun masih memerlukan bantuan untuk rawatan susulan dan kos penjagaan harian, termasuk susu formula khas dan ubat-ubatan yang mencecah RM5,000 sebulan.
Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Muhammad Ikmal Haziq Mazlan melalui Bank Islam, nombor akaun 05049020332559.
