Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat video tular treler bawa helikopter
Diterbitkan:  Dec 13, 2025 2:03 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sebuah video tular di media sosial yang memaparkan treler membawa muatan helikopter di jalan awam sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung video itu pada 8.06 malam semalam.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 4 Dis pada 4.30 petang apabila sebuah treler membawa muatan helikopter tidak dapat melalui susur jalan dari Lebuhraya Shah Alam (Kesas) menghala ke Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya.

“Muatan yang terlalu panjang menyebabkan lori berkenaan tersangkut, sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata pergerakan sebuah ambulans turut dilihat terjejas akibat kesesakan berkenaan.

Beliau berkata setakat ini pihak polis masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Kaedah 9(2) LN 166/59.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya, Insp Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-289 14495.

Terdahulu, video memaparkan sebuah lori yang membawa muatan helikopter dipercayai tersangkut di susur lebuh raya sehingga menyebabkan kesesakan trafik tular di media sosial dan kejadian itu dirakam oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS