Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR yang sudah berubah, bukannya Azam - Rafizi
Diterbitkan:  Dec 13, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mengkritik apa yang disifatkannya sebagai perubahan sikap parti itu terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki selepas menjadi kerajaan.

Bagi Rafizi, pendirian PKR pada masa ini terhadap Azam tidak lagi mencerminkan pandangan rakyat, yang menurutnya sebagai sederhana dan “bukan berpandukan politik semata-mata”.

"Pendapat rakyat jelas bahawa Azam patut meletak jawatan. Tetapi kini, PKR dan (presidennya) Anwar Ibrahim memuji tindakannya (Azam) sebagai keberanian. 

“Orang yang berubah bukan Azam tetapi PKR dan ini berbahaya," katanya melalui rancangan audio siar Yang Berhenti Menteri, malam tadi.

Rafizi membangkitkan pendirian PKR, khususnya Anwar sendiri, yang sebelum ini menuntut Azam meletakkan jawatan.

"Pada 2020, demonstrasi kecil menuntut Azam letak jawatan. Bukan saya yang mengetuainya, tetapi Datuk Seri Anwar…

"Pandangan PKR pada 2020 adalah Azam terlibat dengan akaun saham yang dikatakan milik adiknya, tetapi siasatan Suruhanjaya Sekuriti jelas menunjukkan dia yang menggunakannya (dan maka) melanggar peraturan dan patut letak jawatan.

"Pendapat ini sepatutnya tidak berubah. Namun kini, Datuk Seri Anwar memuji tindakan Azam sebagai keberanian," katanya lagi.

Anwar dan Azam

Pemuda PKR pada Januari 2022 pernah mengadakan himpunan di luar Parlimen dan ibu pejabat SPRM di Putrajaya berhubung isu pemilikan saham tersebut.

Semasa himpunan di luar Parlimen, Anwar hadir untuk menerima memorandum yang diserahkan peserta dan menyuarakan komitmen untuk membangkitkan tuntutan mereka kepada Perdana Menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob, selain menggesa agar tindakan segera diambil.

Mengulas lanjut, Rafizi membangkitkan budaya “politik lama” dan menekankan  gejala rasuah bukan terhad kepada hanya satu parti.

"Kuasa (membawa) rasuah dan kita datang daripada budaya politik lama. Mana-mana parti bila berkuasa, mesti ada yang ‘tewas’. Ini kerana orang yang bagi rasuah tetap ada.

Rakyat ingin melihat tindakan setara…rakyat sokong anda tangkap sesiapa saja. 

“Tapi kalau cuma lawan dua tiga orang ‘jerung’ rakyat rasa ia serangan terpilih,” katanya lagi.

Risiko hilang wibawa

Menurut Rafizi, prestasi kerajaan dalam soal menangani rasuah semakin dipersoalkan rakyat walaupun kerajaan sering menegaskan ia lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu.

"Kalau setahun daripada sekarang kontrak Azam disambung atau persepsi rakyat terhadap SPRM tak berubah, PKR-PH akan diletakkan sama dengan parti-parti lain. Bila PKR-PH hilang kredibiliti antirasuah, apa lagi kredibiliti kita?

"Kelemahan (parti) lain kita boleh terima .Kita letakkan harapan bahawa kamu (PKR) lebih bersih dalam hal rasuah. Jadi bila tiba kontroversi demi kontroversi setakat ini, ia akan bawa malapetaka kepada PH dan PKR," katanya lagi.

Bagaimanapun Azam baru-baru ini memberi bayangan dia tidak akan lagi memegang jawatan ketua pesuruhjaya SPRM selepas tempoh khidmatnya tamat tahun depan, selepas dilanjutkan tiga kali sebelum ini.

Mengakui lanjutan itu mengundang kritikan, dia malah turut memetik nama Rafizi dalam kenyataan tersebut.

"Sudah tiga kali sambung, orang pun dah tak suka dengan saya. Rafizi tak suka dengan saya, dia kata jangan sambung (kontrak) Azam Baki dan sebagainya," katanya tiga hari lalu.

Rafizi membangkitkan kontroversi melibatkan Farhash Wafa Salvador - individu yang dilihat rapat dengan Anwar dan juga bekas setiausaha politiknya - dan mengingatkan ia boleh menjejaskan PH sendiri.

"Dia kena buktikan macam mana dalam tempoh yang pendek boleh ada kekayaan begitu. Ini semua boleh dibuat dalam masa dua tahun untuk yakinkan rakyat bahawa PH serius.

"Sama ada Anwar ada political will atau tidak, itu soalan besar,” katanya.

Dia berkata dua tahun adalah tempoh yang panjang untuk kerajaan “menunjukkan keikhlasan” dalam melawan rasuah.

“..Rakyat akan menilai keikhlasan. Kalau tindakan diambil dengan adil, rakyat yakin PH serius.

"Kalau tidak, semua usaha bertahun-tahun boleh hilang begitu saja. Kita bina kredibiliti, dan ia boleh hilang dalam sekelip mata," katanya lagi.

Sebelum ini, Farhash turut dikaitkan dengan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah, termasuk dengan pendedahan rakaman audio yang didakwa menunjukkan Ketua Menteri Hajiji Noor menyatakan sokongan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash.

Lembaga Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) kemudian menafikan mana-mana syarikat yang dikaitkan dengan Farhash telah diberikan lesen penerokaan di negeri itu.

SPRM kemudian membersihkan nama Farhash daripada dakwaan itu selepas siasatan mendapati tiada lesen dikeluarkan kepada syarikat miliknya dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati tiada sebarang pertuduhan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS