Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Benam Sabah 5-0, JDT juara Piala FA empat kali berturut-turut

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan dominasi mereka dalam saingan Piala FA 2025-2026 apabila muncul juara buat kali keempat berturut-turut selepas menundukkan Sabah FC 5-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Ia turut menjadi trofi Piala FA kelima buat JDT sejak kejohanan tersebut dijenamakan semula pada 2013.

JDT memulakan aksi dengan garang apabila membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi tandukan Jonathan Silva hasil sepakan percuma Oscar Aribas. 

Malang bagi Sabah, gawang mereka sekali lagi dibolosi pada minit ke-20 apabila pertahanan mereka, Rawilson Batuil, tertampan bola ke gawang sendiri sebelum Jairo Da Silva menambah derita Sang Badak tiga minit kemudian.

Skuad Sabah FC hampir merapatkan jurang pada minit ke-26 menerusi penyudah Ajdic Mujagic, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan beliau berada pada kedudukan ofsaid, sekali gus menyaksikan JDT menutup babak pertama dengan kelebihan 3-0.

Babak kedua menyaksikan nasib Sabah FC bertambah malang apabila tonggak tengah mereka, Miguel Cifuentes, dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain JDT.

Kelebihan pemain digunakan sebaiknya oleh JDT apabila Aribas menambah gol keempat pada minit ke-64.

Manuel Hidalgo kemudian melengkapkan malam gemilang JDT apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan, sekali gus menamatkan final dengan kemenangan 5-0.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS