Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Sulu: Keputusan Mahkamah Paris kemenangan besar Malaysia - Arthur
Diterbitkan:  Dec 15, 2025 4:00 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan sepenuhnya Award Akhir berhubung tuntutan pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu merupakan kemenangan besar mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan keselamatan aset strategik Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kejayaan itu membuktikan kerjasama erat antara kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan, selain ketegasan pasukan perundangan negara dalam mempertahankan kepentingan negeri di peringkat antarabangsa.

“Malaysia telah mencatat satu kejayaan yang besar di peringkat antarabangsa apabila Mahkamah Rayuan Paris telah membatalkan sepenuhnya final award dalam kes tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.

“Keputusan ini bukan sahaja mempertahankan kedaulatan undang-undang negara, malah melindungi kepentingan ekonomi serta aset strategik Malaysia khususnya di Sabah. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat dan usaha bersepadu kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan serta pasukan perundangan negara yang bertindak tegas, profesional dan konsisten hingga peringkat antarabangsa,” katanya.

Arthur (BN-Sook) berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Pada 9 Dis, Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir membabitkan pampasan bernilai USD14.9 bilion.

Keputusan mahkamah yang dikeluarkan pada Selasa lepas, memutuskan bahawa penimbang tara Gonzalo Stampa tidak mempunyai bidang kuasa selain ketiadaan perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia dengan prosiding tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pula menyifatkan kemenangan itu bukan sahaja kejayaan undang-undang, malah kemenangan maruah, kedaulatan dan hak seluruh rakyat Malaysia terutama rakyat Sabah.

Beliau berkata ia adalah kemenangan besar kepada negara.

War Room Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris disampaikan pada 9 Dis, dan kerajaan menerima penghakiman rasmi berkenaan pada awal pagi Rabu lepas.

Mahkamah mendapati Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘Award Akhir’ itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS